top of page
Writer's pictureThe Buttery Bites

Resepi Biskut Mama Carrie


Resepi Biskut Mama Carrie
Resepi Biskut Mama Carrie

Assalamualaikum readers...


Mama Carrie, biskut evergreen yang tidak asing lagi dan sentiasa menjadi kegemaran ramai. Biskut ini telah popular sejak zaman 80-an lagi, generasi mak-mak kita dah popular biskut ni. Masa tu, nama biskut ini ialah Marmer Carries, tapi sekarang namanya dah jadi Mama Carrie, untuk memudahkan sebutan nama biskut ni.


Resepi Biskut Mama Carrie
Resepi Biskut Mama Carrie

Pertama kali cuba membuat biskut ini, hasilnya kurang memuaskan. Topping biskut ini tidak begitu menjadi, teksturnya kasar dan terlalu stiff. Bila dipaip atas biskut jadi tak kemas. Rasa toppingnya juga tidak begitu crispy dan agak liat. Tak tahulah dimana silapnya.

Lepas failed eksperimen membuat Mama Carries, saya tak buat lagi biskut ni. sebab agak trauma pula bila toppingnya tak menjadi.


Tapi semangat membuat Mama Carrie ni tiba-tiba membara pula tahun ni, kali ini saya menggunakan resepi olahan sendiri, Alhamdullillah..akhirnya menjadi juga Mama Carrie kegemaran saya dengan tesktur biskut yang rangup dan cair di mulut dengan topping atasnya yang crispy.


Untuk base biskut ni, bahannya mudah dan tidak banyak. Rasanya buttery dan milky dengan adanya susu tepung penuh krim. Untuk toppingnya, anda perlukan putih telur dari 1 biji telur gred A, gula icing dan sedikit tepung jagung untuk memekatkan toppingnya. Kalau suka, bolehlah letak sedikit esen vanila.


Apa yang saya tahu, topping untuk Mama Carrie ni ada dua versi. Satu, versi yang firm. Untuk membuat topping versi firm ni, putih telur perlu dipukul sehingga kembang dan agak pejal (stiff), bila anda terbalikkan mangkuk tu putih telur ni tak jatuh. Lepas tu, baru masukkan bahan lain dan pukul adunan sampai menjadi pekat, likat dan berkilat. Tapi, jangan pukul terlalu lama untuk elak adunan topping ni menjadi terlalu stiff.


Untuk versi topping yang kedua, teksturnya lebih cair. Caranya ialah whisk putih telur sampai berbuih, kemudian campur dengan bahan lain dan kacau sebati.


Untuk topping yang firm, anda perlukan teknik untuk membuatnya dan sejujurnya agak mencabar. Kalau putih telur terlebih air atau tak cukup pukul, kemungkinan topping tak menjadi.


Resepi Biskut Mama Carrie
Resepi Biskut Mama Carrie

TIPS UNTUK MEMBUAT TOPPING YANG MENJADI :


  • Pastikan mangkuk pengadun dan pemutar kering, bersih dan tidak berminyak.

  • Putih telur perlu diputar sampai mengembang dua kali ganda dan stiff, bila terbalikkan mangkuk putih telur tidak jatuh dengan kelajuan sederhana tinggi.

  • Putar putih telur yang telah dicampur dengan tepung jagung dan gula icing dengan kelajuan sederhana tinggi sehingga adunan menjadi pekat, likat dan berkilat, bila anda angkat dengan spatula, adunannya tergantung pada spatula dan lambat untuk jatuh.


Kalau ikut tips di atas, InsyaAllah adunan topping anda akan menjadi.


TAPI...MACAM MANA NAK FIX TOPPING YANG TERLALU KERAS DAN KASAR?


Mengikut pengalaman saya, kadang-kadang, adunan putih telur ni boleh menjadi terlalu stiff dan kasar. Puncanya mungkin terlebih pukul atau terlebih tepung jagung.


Kalau topping anda terlalu stiff, jangan dibuang, masih boleh digunakan lagi ya. Caranya, Putar dalam 1 ke 2 sudu besar (15 ke 30 gram atau 1/2 ke 1 putih telur gred A). Putar sehingga kental (firm)dan mengembang ya, kemudian tambahkan ke adunan topping yang keras tadi. Putar sekejap sampai sebati dan berkilat.


Kebanyakan resepi menyarankan supaya biskut dibakar separuh masak dahulu, dalam 10 ke 15 minit dengan suhu 150℃, saya pernah cuba cara ni, tapi hasil biskut saya kurang memuaskan. Biskutnya tidak begitu rangup dan wangi (mungkin a little bit underbaked).


Bila kita dah letak topping, kita hanya perlu bake sekejap saja just nak bagi topping tu masak dan tidak cair. Kalau bake terlalu lama, nanti warna topping jadi kecoklatan dan teskturnya toppingnya akan kering dan merekah. Jadi, suhu oven memang perlu dijaga sebab biskut ni sensitif.


Sebenarnya, anda boleh terus bake je biskut ni sampai sedikit kecoklatan, saya bake dengan suhu 160℃ selama 15 ke 20 minit, sampai tapak biskutnya agak kecoklatan. Jika anda bake dengan cara ni, hasil biskut anda akan lebih rangup dan wangi.



Tonton Video Di Sini 👇



Mama Carrie yang original menggunakan coklat emulco untuk membuat lorekan pada bahagian atas topping. Saya menggunakan coklat emulco, yang ditambah dengan sedikit adunan topping untuk membuat lorekannya. Kalau takde coklat emulco, anda boleh pakai pewarna yang digemari, untuk mendapatkan lorekan biskut yang berwarna-warni.


Biskut Mama Carrie biasanya berbentuk love, tapi sejak terpandang biskut Mama Carrie yang berbentuk rama-rama di blog kak Azlita Masam Manis, hati dah mula berkenan dengan Mama Carrie yang berbentuk rama-rama.


Jadi, nilah hasilnya..dua bentuk Mama Carrie yang dapat saya hasilkan - bentuk love dan rama-rama!


Topping yang saya paipkan atas biskut ni agak kurang kemas sebenarnya, maklumlah...tangan ni agak menggeletar bila nak paip topping atas biskut tu..hehe..


Untuk biskut yang berbentuk rama-rama tu, lubang pada muncung piping bag perlu lebih kecil sebab nak buat lengkungan pada rama-rama sementara lubang pada muncung piping bag perlu lebih besar, agak2 sama saiz dengan sebelah kelopak love tu supaya bila anda paipkan toppingnya jadi lebih kemas.


Tapi, disebabkan saya bersilih ganti memaip topping antara bentuk love dan rama2, sudahnya saya pakai je piping bag sama dengan muncung yang kecil tu, sebab tu paipan pada bentuk love agak kurang sekata.


Takpelah, asalkan jadi biskutnya, bolehlah buat makan sendiri..kalau nak buat untuk jual tu kene praktis betul-betul sampai hasil toppingnya kemas dan memuaskan untuk menarik perhatian pelanggan.


Bagi peminat biskut Mama Carrie, lepas ni anda bolehlah cuba buat sendiri di rumah. Untuk membuat biskut ni agak lambat sebab nak touch up satu per satu, sebab tulah harga Mama Carrie ni mahal bila beli di luar.


Selamat mencuba!


Biskut Mama Carrie


Resepi Biskut Mama Carrie
Resepi Biskut Mama Carrie

Kategori : Biskut Raya, Biskut Berterap (Rolled Cookies)

Masa Penyediaan : 1 jam

Masa Membakar : 30 minit

Jumlah Biskut : Anggaran 86 keping


BAHAN-BAHAN


Doh Biskut :

180 gram mentega bergaram (lembutkan) / marjerin | 3/4 cawan & 1 sudu besar

45 gram gula icing | 1/3 cawan

1 sudu teh esen vanila

25 gram susu tepung penuh krim | 3 sudu besar

75 gram tepung jagung | 2/3 cawan

190 gram tepung gandum | 1 & 1/2 cawan


Topping :


32 gram putih telur (suhu bilik) | dari 1 biji telur gred A

1/4 sudu teh esen vanila * optional

148 gram gula icing | 1 & 1/8 cawan

11 gram tepung jagung | 1 & 1/2 sudu besar


CARA MEMBUAT



Doh Biskut :


Resepi Biskut Mama Carrie
Resepi Biskut Mama Carrie

  1. Di dalam mangkuk pengadun, whisk mentega bersama gula icing yang diayak terlebih dahulu sehingga sebati dan pucat, tidak perlu sampai kembang.

  2. Masukkan esen vanila dan susu tepung dan whisk sebati.

  3. Ayak tepung jagung bersama tepung gandum ke dalam adunan, kemudian adun pakai spatula atau tangan sehingga menjadi doh.

  4. Bungkus doh dengan cling wrap atau simpan dalam bekas bertutup dan rehatkan dalam peti sejuk selama 30 minit supaya bisut cantik bila diterap.

  5. Panaskan ketuhar pada suhu 160℃.

  6. Selepas 30 minit,canai doh setebal 0.8 cm ke 1 cm kemudian terap mengikut acuan pilihan.

  7. Susun biskut di atas loyang pembakar yang dialas dengan kertas pembakar atau diglis nipis dengan mentega.

  8. Bakar biskut selama 15 ke 20 minit, atau sehingga bahagian bawah biskut sedikit keperangan. Bakar dengan api atas bawah pada rak kedua bawah.

  9. Setelah biskut masak, sejukkan dahulu biskut sementara kita siapkan topping.

Topping :


Resepi Biskut Mama Carrie
Resepi Biskut Mama Carrie

  1. Di dalam mangkuk pengadun yang kering dan bersih, masukkan putih telur dan putar dengan kelajuan sederhana tinggi sehingga putih telur mengembang dan kental (jika anda terbalikkan mangkuk, putih telur tidak jatuh).

  2. Campur bersama gula icing dengan tepung jagung.

  3. Masukkan esen vanila (jika pakai) dan masukkan campuran gula icing secara bertahap sambil memukul adunan dengan kelajuan sederhana tinggi.

  4. Pukul adunan sehingga likat dan berkilat, jika anda angkat menggunakan spatula, adunan topping lambat untuk jatuh tetapi tidak terlalu kental dan kasar teksturnya.

  5. Sisihkan sedikit adunan topping untuk dicampur bersama coklat emulco/ pewarna pilihan.

  6. Masukkan baki topping ke dalam beg piping plastik. Potong muncung beg piping dan paipkan di atas setiap biskut.

  7. Panaskan ketuhar pada suhu 150℃.

  8. Lorekkan permukaan topping menggunakan campuran coklat emulco/pewarna dengan lidi pencucuk.

  9. Bakar semula biskut selama 8 ke 10 minit pada rak kedua bawah, menggunakan api atas bawah, sehingga permukaan biskut keras.

  10. Sejukkan biskut sepenuhnya sebelum disimpan di dalam balang kedap udara.

Resepi Biskut Mama Carrie
Resepi Biskut Mama Carrie


4 views0 comments

Comments


bottom of page