Assalamualaikum readers...
Puding roti, pencuci mulut ringkas yang biasa dibuat terutamanya untuk menghabiskan baki roti tawar yang ada di rumah. Sejak saya buat roti sendiri di rumah, kami memang sangat jarang membeli roti di luar, kecuali, roti jenis bun yang saya jarang buat. Tapi tempoh hari my Hubby "ter"beli roti sandwich Massimo, kononnya nak buat stok emergency kalau saya tak sempat nak bake roti. Dah dua tiga hari roti tu terbiar je takde siapa nak makan, sebab. dalam fridge masih ada baki pizza yang saya buat sebelum ni. Baru belajar cara membuat doh pizza menggunakan pre-ferment dough iaitu poolish, agak susah nak menguli dohnya walaupun hanya 63% air je. Perlu banyak latihan lagi sebelum saya share resepinya di my baking channel ya.
Disebabkan roti sandwich ni masih belum berusik, saya bercadang untuk membuat puding roti. Dah lama kami tak makan puding roti, teringin pula nak makan. Hehe..
Biasanya puding roti dimakan bersama kuah kastad kan? Puding roti biasanya diperbuat dari kastad yang terdiri daripada telur, susu, mentega cair, gula, esen vanilla dan sedikit garam. Kemudian, kalau ada kismis bolehlah taburkan kismis nak bagi puding roti tu lebih menarik dan sedap. Sementara kuah kastadnya terdiri daripada tepung kastad, susu, gula dan sedikit esen vanilla. Ada orang letak kuning telur, ada juga versi yang tiada kuning telurnya.
Tapi puding roti saya kali ini agak berbeza dengan resepi puding roti di atas ni. Saya menggunakan krim keju dengan sedikit parutan kulit lemon dan jusnya untuk memberi kelainan pada puding roti ni. Selain itu, saya menggunakan buah blueberi segar untuk menggantikan kismis untuk rasa masam manis buah segar.
Saya tidak membuat kastad disebabkan puding roti versi ini telah cukup rasa. Tapi kalau rajin boleh je buatkan kastadnya ya. Terpulang pada citarasa. Kami hanya makan puding roti ni dengan ais krim, memang sedap sekali rasanya.
Tonton Video Di Sini 👇
Puding roti blueberri dengan krim keju ini sama seperti puding roti yang lain, iaitu, ianya sedap dinikmati ketika masih hangat. Anda boleh bakar sekejap puding roti yang telah sejuk pada suhu 150℃ selama beberapa minit sehingga puding roti terasa hangat bila dipegang. Untuk mengelakkan permukaannya menjadi kering, tutup dengan aluminum foil.
Puding roti ini sesuai dihidangkan sebagai pencuci mulut atau snek minum petang. Baki puding roti yang tidak habis perlu disimpan dalam peti sejuk, di dalam bekas yang bertutup kerana puding roti ini jenis yang cepat basi.
Selamat mencuba!
Puding Roti Blueberry Dengan Krim Keju
Kategori : Dessert
Masa Penyediaan : 10 minit
Masa Membakar : 50 minit
Saiz Hidangan : 6 ke 9 orang
BAHAN-BAHAN :
12 keping roti sandwich putih / wholemeal
300 gram buah blueberi segar | 2 cawan
250 gram krim keju (lembut)
50 gram mentega bergaram (lembut) | 1/4 cawan
150 gram gula pasir/ gula kastor | 3/4 cawan
Parutan kulit sebiji buah lemon
1/2 sudu teh garam
3 biji telur gred A
1/2 sudu teh esen vanilla
15 gram tepung kastad | 2 sudu besar
310 ml susu segar/ susu penuh krim/ susu sejat | 1 & 1/4 cawan
15 ml jus lemon | 1 sudu besar
CARA MEMBUAT :
Oles loyang segiempat 9 x 9 inci dengan mentega. Ketepikan dahulu.
Potong kecil roti sandwich dan masukkan ke dalam loyang tadi. Kalau nak carik rotinya juga boleh.
Tuang separuh dari buah blueberi kemudian gaul supaya buahnya sekata.
Di dalam sebuah mangkuk, pukul sebentar krim keju bersama mentega.
Masukkan gula, parutan kulit lemon dan garam. Pukul sehingga sebati dengan kelajuan sederhana. Tidak perlu sehingga kembang.
Masukkan telur, sebiji demi sebiji sambil memukul adunan. Pukul hingga sebati.
Masukkan esen vanilla dan pukul sebati.
Di dalam bekas lain, campurkan tepung kastad dengan susu. Tuang susu sedikit demi sedikit sambil mengacau supaya adunan tidak berketul.
Tuang campuran susu sambil memukul adunan dengan kelajuan paling rendah.
Akhir sekali, masukkan jus lemon dan pukul sebati.
Pindahkan kastad ke dalam jag atau cawan penyukat yang besar supaya mudah menuang kastad ke dalam loyang.
Tuang kastad ke dalam loyang dengan sekata. Tekan-tekan roti supaya tenggelam ke dalam kastad. Tutup loyang dengan aluminum foil atau cling wrap dan rehatkan 10 ke 15 minit untuk pastikan roti menjadi lembut sebelum dibakar.
Panaskan ketuhar pada suhu 180℃.
Tabur baki buah blueberi di atas puding dan tekan-tekan sedikit supaya buahnya tidak mudah tertanggal.
Bakar selama 45 ke 50 minit, atau sehingga bahagian atas puding berwarna keemasan dan bahagian tepinya nampak renggang dari tepi loyang.
Sejukkan sebelum dipotong. Sedia dinikmati.
Comentarios