top of page
Writer's pictureThe Buttery Bites

Resepi Talam Cendol Versi Acuan Lembut & Lemak Manis



Resepi Talam Cendol Versi Acuan Lembut & Lemak Manis
Resepi Talam Cendol Versi Acuan Lembut & Lemak Manis

Assalamualaikum readers...


Talam cendol, salah satu versi kuih talam yang popular dan mempunyai ramai penggemarnya. Rasanya lemak manis, dengan lapisan bawah berwarna putih yang berisi cendol sementara lapisan atasnya ialah lapisan gula merah.

Biasanya, lapisan bawah dibuat dari tepung beras, dan dicampur dengan sedikit tepung jagung atau tepung ubi sementara lapisan atasnya menggunakan tepung gandum dan sedikit tepung jagung. Seperti yang kita tahu, rasa lemak dari kuih talam adalah disebabkan penggunakan santan kelapa yang agak banyak. Sekali-sekala makan takpelah kan, "reward system" setelah penat dengan tugasan seharian, apa salahnya kalau manjakan tekak dengan pemanis mulut seperti talam cendol ni bersama keluarga.


Saya jarang buat kuih talam ni sebab saya kurang mahir membuat kuih tradisi, sebab tu dah lama subscriber saya request kuih talam cendol ni baru ni saya dapat buat. Bukan apa, nak adjust resepi memang kena ambil masa untuk dapatkan hasil yang memenuhi citarasa. Saya jarang copycat resepi orang lain sebab memang jenis yang suka ambil jalan sukar..Hehe..Lagipun kebanyakan resepi rata-rata menggunakan telur yang lebih untuk bahagian atasnya. Saya kurang suka kuih talam banyak telur, sebab kadang-kadang bau telur agak kuat menjadikan rasanya muak. Sebab tu bila saya olah sendiri resepinya saya memang biasanya letak sebiji je. Walaupun letak sebiji telur, hasilnya tetap lembut dan elok saja.

Tonton Video Di sini 🍀



Talam cendol ini menggunakan acuan, jadi lebih mudah untuk dihidangkan, tak perlu dipotong. Lagipun, talam versi acuan ni lebih cepat sejuk, jadi kalau rasa macam nak buat kuih talam cendol ni last minute, paling sesuai menggunakan acuan kuih lompang ni saja. Jadi, tak perlulah nak tunggu berjam-jam sebelum ianya boleh dipotong.

Talam cendol ni sedap dimakan sejuk-sejuk, rasanya lemak manis dan ada sedikit masin dari lapisan bawahnya.

Jom kita intai resepinya. Selamat mencuba!


Talam Cendol


Resepi Talam Cendol Versi Acuan Lembut & Lemak Manis
Resepi Talam Cendol Versi Acuan Lembut & Lemak Manis

Kategori : Kuih Melayu

Masa Penyediaan : 25 minit

Masa Mengukus : 45 minit

Jumlah Hidangan : 37 keping



BAHAN- BAHAN


Air Gula :


110 gram gula merah | 3/4 cawan

50 gram gula Melaka | seketul kecil

430 ml air | 1 & 3/4 cawan

Sehelai daun pandan (simpul)


Lapisan Bawah :


140 gram tepung beras | 1 & 1/4 cawan

8 gram tepung jagung | 1 sudu besar

200 ml krim santan KARA | 1 kotak kecil

330 ml air | 1 & 1/3 cawan

35 gram gula pasir | 3 sudu besar

7 gram garam | 1 & 1/2 sudu teh

Sehelai daun pandan (simpul)

200 gram cendol | 1 cawan


Lapisan Atas :


125 gram tepung gandum | 1 cawan

12 gram tepung jagung | 1 & 1/2 sudu besar

1/4 sudu teh garam

1 biji telur gred A

200 ml krim santan KARA

Air gula yang telah sejuk



CARA MEMBUAT


Air Gula :


  1. Campur bersama kesemua bahan dan masak di atas api sederhana sehingga gula larut.

  2. Tapis ke dalam mangkuk/ bekas tahan panas & sejukkan sebelum digunakan.


Lapisan Bawah :


  1. Setelah air gula sejuk, didihkan air dalam pengukus.

  2. Oles acuan lompang dengan sedikit minyak masak. Ketepikan.

  3. Di dalam sebuah mangkuk, masukkan tepung beras dan tepung jagung. Whisk sebentar.

  4. Campurkan krim santan KARA dengan air dalam bekas lain, kemudian tuang secara bertahap ke dalam mangkuk berisi tepung. Whisk sebati.

  5. Tapis adunan ke dalam periuk dan masukkan garam, gula dan daun pandan.

  6. Kacau sebati & masak dengan api sederhana kecil sehingga naik wap. Matikan api dan keluarkan daun pandan.

  7. Masukkan cendol dan kacau sebati.

  8. Tuang adunan ke dalam acuan lompang sehingga separuh penuh.

  9. Kukus dengan api sederhana selama 20 ke 25 minit, atau sehingga permukaan kuih tidak lagi cair.

  10. Penutup pengukus boleh dibalut dengan kain untuk elak wap air jatuh ke atas kuih atau lap penutup pengukus setiap 5 minit.

  11. Sementara itu, siapkan lapisan atas.


Lapisan Atas :


  1. Di dalam sebuah mangkuk, masukkan tepung gandum, tepung jagung dan garam. Whisk sebati.

  2. Masukkan krim santan KARA, telur dan air gula secara bertahap. Whisk sebati.

  3. Tapis adunan ke dalam periuk, tambahkan daun pandan dan masak dengan api sederhana rendah sehingga naik wap.

  4. Keluarkan daun pandan dan pindahkan adunan ke dalam cawan penyukat tahan panas supaya mudah untuk dituang di atas lapisan bawah.

  5. Selepas 20 minit dan lapisan bawah sudah tidak lagi cair, cakar permukaan lapisan bawah dengan garfu supaya kedua-dua lapisan melekat.

  6. Tuang adunan lapisan atas secara perlahan di dalam setiap acuan sehingga penuh atau hampir penuh.

  7. Kukus semula selama 20 minit dengan api sederhana sehingga permukaannya set.

  8. Selepas 20 minit, buka penutup pengukus, dan kukus dengan api sederhana tinggi selama beberapa minit supaya permukaan kuih kering.

  9. Sejukkan talam sebelum dikeluarkan dari acuan.

  10. Kuih siap untuk dihidang!



Resepi Talam Cendol Versi Acuan Lembut & Lemak Manis
Resepi Talam Cendol Versi Acuan Lembut & Lemak Manis


1 view0 comments

Kommentare


bottom of page