Assalamualaikum readers...
Dah agak lama saya tak buat roti naan, tiba-tiba Mr Hubby pula request nak merasa roti naan. Sebelum ni, saya pernah kongsikan resepi roti naan bawang putih dan roti naan bersama kuah ayam di Baking Channel saya.
Jadi, resepi naan kali ni kita buat lain sikit, iaitu versi roti naan gandum penuh atau whole wheat yang lebih sihat dan lebih banyak serat. Sementara untuk kuahnya pula, saya buat kari versi berkrim yang lebih mudah dan cepat, tak perlu tumis sehingga pecah minyak seperti kari biasa, hanya bawang besar atau bawang Hollandnya saya tumis sehingga layu bersama buah tomato yang dibelah empat. Kemudian, kisar bahan ini bersama air sampai halus dan masak semula dengan menambahkan serbuk kari, serbuk cili, bawang putih, halia, sedikit kiub ayam untuk menambah rasa, santan, garam, serbuk ketumbar dan gula.
Rasa kari ni sedikit masam dari buah tomato dan rasanya tidak terlalu berminyak seperti kari biasa. Untuk bebola kentangnya pula caranya sama seperti membuat bergedil kentang. Bebola kentang ini tidak dimasukkan terus ke dalam kuah karinya, tetapi digoreng sehingga keemasan, kemudian, bila nak hidangkan, kita sendukkan sedikit kuah ke dalam mangkuk hidangan dan letakkan beberapa biji bebola kentang di atasnya.
RAHSIA untuk mendapatkan roti naan yang sangat lembut dan gebu tanpa menggunakan minyak yang banyak ialah dengan menambah yogurt asli. Yogurt bukan saja membuatkan roti naan kita menjadi lembut, ia juga membuatkan roti naan menjadi moist dan tidak kering dan liat. Tekstur roti naan ini ringan dan tidak mampat.
Tonton Video Di Sini 👇
Saya menggunakan breadmaker saja kali ini untuk menguli doh roti naan ni. Sebenarnya doh roti naan ni tidak perlu pun diuli sampai elastik seperti doh untuk roti pada kebiasaannya sebab roti naan tidak memerlukan struktur yang kukuh seperti roti yang lain disebabkan bentuknya yang leper. Kalau anda rajin nak uli doh pakai tangan pun boleh, uli saja dohnya sampai agak licin permukaannya, dalam 5 minit.
Roti naan ni boleh disimpan dalam peti sejuk atau difrozenkan. Kalau anda buat untuk frozen, masak sekejap saja, tidak perlu sampai keperangan, cukup untuk deactivate yis dalam doh roti. Kemudian, setelah roti sejuk, susun roti secara bertindih di dalam bekas bertutup atau masukkan dalam ziploc bag. Jangan lupa letak sekeping plastik atau kertas pembakar di antara roti naan untuk elak roti melekat antara satu sama lain.
Untuk memasak roti naan frozen, keluarkan roti naan dari freezer dan biarkan pada suhu bilik selama 30 minit, sehingga agak lembut dan tidak terlalu beku. Kemudian, panaskan kuali leper anti lekat dan masak roti naan sehingga keperangan kedua-dua belah menggunakan api sederhana.
Roti naan ini sangat sesuai dijadikan sajian untuk sarapan pagi ataupun makan malam. Lagi sedap kalau makan bersama ayam tandoori.
Selamat mencuba!
Roti Naan Whole Wheat Dengan Kari Bebola Kentang
Kategori : Roti
Masa Penyediaan : 45 minit
Masa Proofing : 60 minit
Masa Memasak : 30 minit
Jumlah Hidangan : 8 ~ 10 orang
BAHAN-BAHAN
Roti Naan Whole Wheat :
Anggaran 225 ml air sejuk dari peti sejuk | 3/4 cawan & 3 sudu besar (pakai air suam jika uli pakai tangan)
8 gram yis kering segera | 2.5 sudu teh
12 gram gula pasir | 1 sudu besar
135 gram yogurt asli | 1/2 cawan
45 ml minyak sayuran | 3 sudu besar
250 gram tepung roti / tepung gandum | 2 cawan
250 gram tepung whole wheat | 2 cawan
8 gram garam | 1.5 sudu teh
Parutan keju Mozzarella / Cheddar secukupnya
Bebola Kentang :
500 gram kentang | 5 biji saiz sederhana (rebus dan kupas kulitnya)
1/4 cawan tepung jagung
1 sudu teh serbuk lada hitam kasar
1/2 sudu teh serbuk kunyit
Garam secukupnya
Minyak secukupnya untuk menggoreng
Kari Pekat Berkrim :
1 biji bawang Holland (belah 4 atau 6)
2 biji tomato (belah 4)
310 ml air | 1 dan 1/4 cawan
2 sudu besar penuh serbuk kari daging
1 ke 2 sudu teh serbuk cili
1/2 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh serbuk ketumbar
1 cm halia - tumbuk halus/parut
2 ulas bawang putih - tumbuk halus/parut
Gula secukupnya
1/3 kiub pati ayam
60 gram krim santan/ krim masakan | 1/4 cawan
Garam secukupnya
2 ke 3 sudu besar minyak masak
CARA MEMBUAT
Roti Naan Whole Wheat :
Masukkan air sejuk, yis, gula, yogurt dan minyak di dalam mangkuk breadmaker. Kacau sebentar menggunakan spatula.
Masukkan tepung roti/gandum, tepung whole wheat dan garam.
Pilih menu "Dough" untuk menguli. Sewaktu mesin sedang mengadun, tambah air sedikit jika adunan terlalu kering dan berderai dan tambah sedikit tepung jika adunan terlalu lembik. Sesuaikan bergantung kepada jenis tepung dan yogurt yang digunakan.
Setelah mesin selesai menguli, keluarkan doh dan bulatkan. Masukkan ke dalam mangkuk yang besar yang dioles dengan sedikit minyak masak. Oles sedikit minyak pada permukaan doh.
Tutup mangkuk dengan cling wrap/tuala lembap dan rehatkan selama 45 ke 60 minit, sehingga doh mengembang dua kali ganda.
Selepas doh mengembang dua kali ganda, Telangkupkan mangkuk ke atas papan pencanai yang telah ditabur sedikit tepung gandum.
Tekan-tekan doh untuk keluarkan anginnya kemudian bahagiakan kepada 10 bahagian.
Bulat-bulatkan setiap bahagian dan susun di atas permukaan yang ditabur sedikit tepung. Tutup bebola doh dengan cling wrap/tuala bersih dan rehatkan 10 minit supaya doh mudah untuk dicanai.
Selepas 10 minit, ambil bebola doh yang pertama dan leperkan menggunakan tangan. Pastikan bahagian bawah dan permukaan doh ditabur dengan tepung secukupnya.
Canai doh berbentuk bulat dan leperkan bahagian tepi doh supaya lebih nipis.
Letak parutan keju secukupnya di bahagian tengah doh dan tutup doh dengan kemas.
Canai doh berbentuk bulat yang tebal. Ketepikan dahulu sementara anda canai bebola doh seterusnya.
Setelah kesemua bebola doh dicanai dan dimasukkan keju, kita akan canai nipis kesemua doh tadi. Mulakan dengan doh yang pertama. Tekan-tekan perlahan menggunakan tangan dahulu kemudian canai nipis setebal dalam 3 mm bebentuk bulat atau bujur.
Susun doh yang telah dicanai nipis secara bertindih di atas loyang yang ditabur tepung. Letak sekeping plastik/kertas pembakar di antara doh supaya tidak melekat antara satu sama lain.
Canai nipis kesemua doh sehingga selesai.
Panaskan kuali leper anti lekat pada suhu sederhana.
Setelah kuali cukup panas, masukkan sekeping roti naan dan masak sehingga gelembung udara timbul pada permukaan roti.
Terbalikkan roti dan masak sehingga kedua-dua belah roti keperangan, dalam 1 ke 2 minit setiap bahagian. Roti akan menggelembung sewaktu dibakar, seperti roti pita.
Setelah roti masak, angkat dan letak di atas pinggan dan tutup dengan tuala bersih supaya roti tidak kering.
Ulang langkah yang sama sehingga kesemua roti masak.
Roti boleh dihidang serta merta dan jika suka boleh oles permukaan roti dengan mentega cair yang ditambah hirisan daun parsley atau parsley kering.
Roti yang telah sejuk boleh disimpan dalam bekas kedap udara / ziploc bag dan boleh difrozenkan. Letak sekeping plastik/kertas pembakar diantara roti supaya roti tidak melekat antara satu sama lain.
Bebola Kentang :
Basuh bersih 5 biji kentang, tak perlu kupas kulit dahulu pun boleh.
Rebus kentang di dalam periuk dengan api sederhana sehingga kentang lembut dan boleh dicucuk dengan mudah dengan lidi pencucuk/garfu. Pastikan paras air melebihi kentang supaya kentang masak dengan sekata.
Keluarkan kentang dari periuk dan biarkan suam. Setelah suam, kupas kulitnya dan masukkan kentang ke dalam bekas yang sesuai.
Lecek kentang sehingga halus.
Masukkan tepung jagung, serbuk lada hitam, serbuk kunyit dan garam dan gaul sebati.
Ambil sedikit doh kemudian bulat-bulatkan. Susun di atas pinggan/dulang.
Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali dengan suhu sederhana.
Setelah minyak panas, goreng bebola kentang sehingga keemasan,
Angkat dan letak di atas kertas tisu dapur untuk toskan minyaknya.
Kari Pekat Berkrim :
Panaskan 2 ke 3 sudu besar minyak masak dalam kuali.
Tumis bawang Holland dan tomato sehingga layu, dalam 3 minit.
Keluarkan dan masukkan ke dalam blender. Masukkan air dan kisar halus.
Tuang bahan kisar ke dalam kuali yang sama. Buka api perlahan.
Masukkan serbuk kari, serbuk cili, serbuk ketumbar, serbuk kunyit, gula pasir dan kiub pati ayam. Kacau sebati dan reneh sehingga kuah menggelegak.
Masukkan krim santan/krim masakan dan perasakan garam secukupnya. Reneh lagi dalam 2 minit kemudian boleh padamkan api.
CARA MENGHIDANG
Sendukkan sedikit kuah kari ke dalam mangkuk penghidang kemudian letakkan beberapa biji bebola kentang di atasnya. Tabur hirisan daun parsley/daun sup/daun bawang jika suka.
Hidang bersama roti naan yang masih panas.
Sedia untuk dinikmati.
コメント