Assalamualaikum..
Selepas beberapa lama kek basque burnt cheesecake ni viral, baru ni saya berkesempatan nak cuba membuatnya di rumah.
Kebetulan stok krim keju pun banyak di rumah dan saya pun tak berapa nak rajin nak membuat cheese tart.
Kek basque burnt cheesecake ni sangat mudah untuk disediakan, gaul pakai spatula, whisk atau hand mixer sehingga sebati, kemudian tuang adunan ke dalam kertas cawan atau loyang pembakar, kemudian bakar sehingga bahagian atasnya keperangan.
Kek ini tidak menggunakan banyak tepung, seperti kek yang lain, namun rasanya tidak muak kerana bahagian atas kek yang sedikit hangus memberikan rasa ala karamel pada kek ini.
Kek ini akan bertambah sedap jika dinikmati ketika ianya sejuk, kerana teksturnya akan lebih mampat dengan bahagian tengahnya sedikit "gooey".
Untuk menonton video tutorial langkah demi langkah, boleh tonton videonya menerusi pautan video di bawah ini ya:
Mini Basque Burnt Cheesecake
Kategori : Cupcake, Kek
Jumlah Hidangan : 20 biji
Masa Penyediaan : 10 minit
Masa Membakar : 20 minit
BAHAN-BAHAN
(Semua bahan pada suhu bilik)
500 gram krim keju | 2 cawan
3/4 cawan gula kastor/gula pasir halus | 150 gram
1/8 sudu teh garam halus
3 biji telur gred A
2 sudu teh esen vanila
2 sudu besar tepung gandum | 16 gram
1/2 sudu besar tepung jagung | 3 gram
1 cawan krim putar tenusu | 250 ml
Kertas cawan secukupnya
CARA PENYEDIAAN
Masukkan krim keju ke dalam mangkuk pengadun dan lembutkan dengan menggunakan spatula.
Masukkan gula kastor/gula pasir halus dan garam, kemudian sebatikan menggunakan spatula. Kemudian, putar dengan kelajuan sederhana selama 1 minit.
Masukkan telur 1 biji untuk satu masa dan putar sebati selepas masukkan telur.
Masukkan esen vanila dan putar sebati.
Ayak tepung gandum bersama tepung jagung ke dalam adunan, kemudian putar dengan kelajuan rendah sehingga sebati.
Masukkan krim putar tenusu dan putar dengan kelajuan rendah sehingga sebati.
Panaskan ketuhar pada suhu 220℃ selama 10 minit.
Susun kertas cawan ke dalam loyang muffin.
Tuang sebagian adunan kek ke dalam cawan penyukat/jag supaya mudah untuk menuang adunan ke dalam kertas cawan.
Tuang adunan kek sehingga memenuhu 2/3 atau 3/4 cawan kertas.
Bakar kek pada rak tengah selama 18 ke 20 minit, sehingga bahagian atas kek berwarna perang gelap.
Setelah kek masak, keluarkan dari ketuhar dan biarkan kek sejuk sebentar sebelum dikeluarkan dari loyang muffin.
Kek sedia untuk dinikmati atau biarkan kek sejuk selama 2 ke 3 jam sebelum dinikmati.
Comments