Assalamualaikum...
Memandangkan stok lobak merah dan krim keju masih ada di dalam peti sejuk, saya terus je bersemangat nak membuat muffin lobak merah ni. My hubby is now under low potassium diet, so carrot muffin ni saya buat tanpa menggunakan kekacang seperti walnut dan kismis. Kalau suka, anda boleh letak walnut yang dicincang kasar dan dibakar sebentar sehingga garing terlebih dahulu dan juga kismis hitam ke dalam muffin ni, rasanya akan lebih sedap!
Untuk video tutorialnya, sila tonton menerusi pautan video di bawah ini:
Source from The Buttery BItes Youtube https://youtu.be/LyhA6acx58Q
Carrot muffin ini rasanya tidak terlalu manis kerana kami kurang gemar kek yang terlalu manis.
Muffin ini sangat lembap dan semakin sedap setelah disimpan di dalam bekas bertutup dan dimasukkan ke dalam peti sejuk. Lebih-lebih lagi, cream cheese frostingnya akan memejal jika ianya sejuk, jadi rasanya akan lebih sedap.
Selamat mencuba!
Carrot Muffin Dengan Cream Cheese Frosting
Kategori : Muffin
Jumlah Hidangan : 11 biji
Masa Penyediaan : 15 minit
Masa Membakar : 30 minit
BAHAN-BAHAN
Adunan Muffin:
3 biji telur gred A (suhu bilik)
1/2 cawan gula kastor/gula pasir halus (100 gram)
2/3 cawan minyak jagung/minyak sayuran (175 ml)
1/4 sudu teh garam
1 sudu teh esen vanila
1/2 sudu teh baking soda (2 gram)
1 sudu teh baking powder (4 gram)
1/2 sudu teh serbuk kayu manis (2 gram)
1 & 1/4 cawan tepung gandum (155 gram)
1 & 1/3 cawan parutan lobak merah (75 gram)
Cream Cheese Frosting (Untuk Paipan Frosting Yang Nipis):
1/2 cawan krim keju (lembutkan) (100 gram)
1/4 cawan mentega bergaram (lembutkan) (63 gram)
1/4 cawan gula icing (padat) (42 gram)
1/2 sudu teh esen vanila
Cream Cheese Frosting (Untuk Paipan Frosting Yang Tebal):
3/4 cawan krim keju (lembutkan) (150 gram)
1/3 cawan mentega bergaram (lembutkan) (83 gram)
1/3 cawan gula icing (padat) (63 gram)
1/2 sudu teh esen vanila
CARA MEMBUAT
Adunan Muffin:
Panaskan ketuhar pada suhu 180℃.
Di dalam mangkuk pengadun, masukkan 3 biji telur gred A dan gula kastor/gula pasir halus. Whisk secara zig-zag dengan gerakan yang cepat sehingga gula larut.
Masukkan minyak jagung/minyak sayuran lain, garam dan esen vanila. Whisk dengan cepat supaya adunan tercampur rata.
Ayak separuh dari bahan kering dahulu (serbuk kayu manis, baking soda, baking powder dan tepung) ke dalam adunan dan gaul sehingga sebati sahaja. Kemudian, ayak lagi baki campuran bahan kering dan gaul hingga tiada lagi tepung yang kelihatan.
Parutkan lobak merah yang telah dikupas kulitnya dan sukat sebanyak 1 &1/3 cawan/ 75 gram.
Masukkan parutan lobak merah ke dalam adunan dan gaul sehingga sebati.
Sudukan adunan ke dalam loyang muffin yang telah dialas dengan kertas cawan sehingga 3/4 cawan penuh.
Hentak sedikit loyang untuk memecahkan gelembung udara di dalam adunan.
Bakar selama 30 minit, atau sehingga lidi pencucuk/cake tester bersih jika dicucuk pada bahagian tengah muffin, dengan menggunakan api atas bawah pada rak tengah.
Keluarkan muffin dari loyang dan biarkan sejuk di atas redai.
Cream Cheese Frosting :
Di dalam mangkuk pengadun/mangkuk stand mixer, masukkan krim keju dan mentega. Lembutkan menggunakan spatula.
Masukkan gula icing dan esen vanila, kemudian putar sehingga kembang dan pucat menggunakan mixer dengan kelajuan sederhana.
Ambil beberapa sudu frosting dan masukkan ke dalam 2 bekas yang berlainan untuk membuat corak lobak merah.
Warnakan dengan pewarna hijau epal dan oren.
Masukkan frosting yang berwarna hijau ke dalam beg piping dengan nozel bintang kecil manakala frosting yang berwarna oren ke dalam beg piping dengan nozel bulat kecil.
Masukkan baki frosting ke dalam beg piping dengan nozel bintang bertutup pecah 10 (C10).
Menghias Carrot Muffin:
Paip frosting yang kosong ke atas muffin mengikut ketebalan dan kreativiti.
Paipkan bentuk lobak merah menggunakan frosting berwarna oren.
Paipkan mentuk daun menggunakan frosting berwarna hijau.
Comments