Assalamualaikum...
Dalam entry kali ini, saya akan sharing satu resepi kek cawan yang sangat popular dan digemari ramai kerana tekstur keknya yang lembut seperti kapas dengan inti krim kastad yang manis berkrim.
Kenapa namanya Hokkaido cupcake?
Menurut sumber dari blog Kitchen Tigress, kek cawan Hokkaido ini dibuat menggunakan susu Hokkaido, sebab tu namanya kek cawan Hokkaido atau Hokkaido cupcake.
Hokkaido cupcake ini teksturnya seperti kek chiffon kerana memang adunannya dan cara membuatnya seakan-akan kek chiffon.
Adunannya terdiri dari dua bahagian; satu adunan tepung yang dicampur dengan kuning telur, manakala satu adunan lagi ialah adunan putih telur yang dipukul sehingga bertanduk, atau meringue.
Meringue inilah yang memberikan tesktur ringan seperti kapas dan membuatkan cupcake mengembang sewaktu dibakar.
Adunan kek chiffon tidak boleh dibakar dengan suhu yang tinggi, seperti kek mentega kerana bimbang bahagian atasnya akan menjadi terlalu merekah.
Untuk resepi ini, saya bakar cupcake pada suhu 150℃ selama 25 ke 30 minit yang pertama, sehingga kek hampir masak dan mengembang.
Kemudian, saya bakar kek pada suhu yang lebih tinggi, 170℃ selama 5 ke 7 minit untuk menggelapkan sedikit permukaan kek supaya tidak terlalu pucat.
Untuk inti cupcake ini pula, ada yang hanya menggunakan krim putar yang dipukul sehingga kental dan ada yang menggunakan kastad sahaja.
Dalam resepi ini, saya menggunakan kedua-duanya sekali iaitu kastad yang telah sejuk saya campurkan dengan krim putar telah dipukul sehingga kental.
Terpulang pada citarasa anda.
Tonton video langkah demi langkah tentang cara membuat Hokkaido cupcake melalui pautan video di bawah ini 👇
Saya buat Hokkaido cupcake ni untuk minum petang bersama keluarga.
Cupcake ni lebih sedap jika dimakan ketika sejuk sebab krim kastadnya kental dan tidak lembik.
Keknya tidak terlalu manis, memang sesuai jika dipadankan dengan krim kastad yang lemak manis.
Selamat mencuba & Happy baking guys!
HOKKAIDO CUPCAKE
Kategori : Cupcake
Masa Penyediaan : 15 minit
Masa Memasak : 10 minit
Masa Membakar : 35 minit
Jumlah Hidangan : 11 biji
BAHAN-BAHAN :
Krim Kastad
1 biji telur gred A / B
50 gram gula pasir halus / gula kastor | 1/4 cawan
8 gram tepung kastad | 1 sudu besar
8 gram tepung gandum | 1 sudu besar
180 ml susu segar/ susu penuh krim | 3/4 cawan
1/8 sudu teh garam
1/2 sudu teh esen vanila
15 gram mentega bergaram / marjerin | 1 sudu besar
80 ml krim putar tenusu / bukan tenusu | 1/3 cawan (sejuk)
Cupcake
60 ml susu segar/ susu penuh krim | 1/4 cawan
60 ml minyak jagung | 1/4 cawan
85 gram tepung gandum / tepung kek | 2/3 cawan
14 gram tepung jagung | 2 sudu besar
2 gram baking powder | 1 sudu teh
1/4 sudu teh garam
4 biji kuning telur gred A (suhu bilik) | 79 gram
1 sudu teh esen vanila
4 biji putih telur gred A (suhu bilik) | 126 gram
1/2 sudu teh cream of tartar / jus lemon
65 gram gula halus/ gula kastor | 1/3 cawan
Hiasan :
Gula icing
Strawberi
CARA MEMBUAT :
Kastad
Di dalam periuk kecil, pecahkan sebiji telur, masukkan gula, tepung kastad dan tepung gandum. Whisk sehingga adunan sebati dan adunan tidak berketul.
Masukkan susu dan whisk sehingga sebati.
Masak kastad dengan api sederhana rendah sehingga kastad pekat dan meletup-letup. Setelah masak, padamkan api.
Masukkan garam, esen vanila dan mentega/marjerin dan whisk sehingga sebati.
Pindahkan kastad ke dalam mangkuk tahan panas dan tutup rapat permukaan kastad dengan cling wrap. Simpan dalam peti sejuk sehingga sedia untuk digunakan. Sementara itu, boleh sediakan cupcake.
Cupcake :
Di dalam mangkuk tahan panas, masukkan susu dan minyak jagung Rendam mangkuk dalam mangkuk lain berisi air panas mendidih sehingga campuran suam (dalam 43℃). Selain itu, campuran boleh dipanas dalam microwave selama 30 saat.
Sementara campuran masih panas, ayak bersama tepung gandum/tepung kek, tepung jagung dan baking powder ke dalam campuran. Tambahkan garam kemudian whisk sehingga kesemua bahan sebati. Adunan memang pekat.
Masukkan kuning telur dua biji dalam satu masa dan whisk sebati. Kemudian, masukkan esen vanila dan adun sebati. Adunan memang melekit dan pekat. Ketepikan dahulu.
Dalam mangkuk lain yang kering dan bersih, masukkan putih telur dan cream of tartar atau jus lemon. Putar dengan kelajuan sederhana sehingga berbuih halus.
Masukkan gula secara 3 peringkat dan putar lebih kurang 30 saat setiap kali selepas masukkan gula. Selepas masukkan gula yang akhir, putar meringue sehingga bertanduk.
Masukkan 1/3 meringue ke dalam adunan kuning telur dan whisk perlahan secara kaup-balik sehingga sebati.
Tuang adunan ke dalam mangkuk berisi meringue, atau boleh sahaja tambahkan kesemua meringue ke dalam adunan kuning telur jika mangkuk adunan kuning telur lebih besar, kemudian, kaup balik menggunakan spatula sehingga warna adunan sekata.
Untuk lebih mudah, masukkan adunan ke dalam beg plastik piping kemudian paip adunan sehingga memenuhi 3/4 kertas cawan. Setelah selesai, hentak loyang beberapa kali untuk mengeluarkan udara di dalam kek.
Bakar cupcake pada suhu 150℃ selama 28 minit pada rak kedua bawah menggunakan api atas bawah. Sebelum itu, panaskan dahulu ketuhar selama 15 minit.
Kemudian, pindahkan loyang ke rak tengah dan bakar lagi 7 minit pada suhu 170℃ sehingga permukaan kek berwarna coklat muda.
Setelah kek masak, keluarkan dari ketuhar dan hentak loyang sekali pada permukaan meja untuk elak kek dari mengecut. Biarkan kek sejuk.
Krim Kastad :
Sementara menunggu cupcake sejuk, siapkan krim kastad. Sebelumnya, pastikan mangkuk dan pemutar telah disejukkan di dalam peti sejuk dahulu supaya dingin, atau jika nak cepat masukkan ke dalam freezer.
Putar krim putar dengan kelajuan sederhana sehingga kental. Untuk elak krim kastad dari menjadi cepat lembik, saya cadangkan anda pakai krim putar bukan tenusu.
Keluarkan kastad dari peti sejuk dan lembutkan menggunakan spatula sehingga berkrim semula.
Campurkan krim putar bersama kastad dan gaul sebati.
Masukkan krim kastad ke dalam beg plastik piping dengan nozel bintang pilihan anda. Saya pakai nozel bintang pecah 8.
Menghias Hokkaido Cupcake :
Setelah cupcake sejuk, buat dua potongan dari arah bertentangan membentuk seperti simbol '+' menggunakan pisau kecil.
Kemudian paipkan krim kastad sehingga penuh.
Ayakkan sedikit gula icing pada permukaan cupcake.
Paipkan bentuk swirl pada bahagian tengah cupcake. Hiaskan dengan buah strawberi yang telah dibelah dua.
Cupcake sedia untuk dinikmati atau disimpan di dalam peti sejuk.
Comments