Assalamualaikum...
Diam tak diam tinggal lebih kurang seminggu saja lagi masyarakat India akan menyambut perayaan Deepavali.
Saya masih ada beberapa balang biskut tempahan lagi yang perlu disiapkan, sementara ada sedikit masa ni saya ambil masa untuk update blog, boleh juga dijadikan rujukan bagi sesiapa yang berminat nak buat biskut pandan gula Melaka yang viral dan sedap ni!
Biskut pandan gula Melaka ini merupakan kombinasi rasa Asia iaitu perasa pandan, santan, gula Melaka dan juga rasa lemak dari mentega.
Untuk perasa pandan, anda boleh menggunakan pandan flavor dari Star Brand, kemudian tambahkan dengan pewarna hijau atau hijau epal ataupun anda boleh menggunakan pandan emulco atau pes pandan.
Sejujurnya, saya lebih suka menggunakan pandan emulco dari esen pandan sebab rasanya lebih sedap dan lemak.
Resepi biskut ini saya olah dengan tambahan krim santan KARA untuk rasa lemak santan dan sedikit tepung kastad untuk menambah rasa dan memberikan sedikit warna kuning pada biskut.
Tekstur biskut ini rangup dan cair di mulut dengan sedikit rasa "chewy" dari gula Melaka di bahagian atas biskut yang cair.
Untuk hiasan biskut ini, anda boleh menggunakan kelapa parut Hawaii atau kelapa parut biasa.
Saya menggunakan kelapa parut Hawaii dalam resepi ini.
Sejak dua menjak ni, saya suka pula membuat biskut yang bersaiz mini atau bite size sebab nampak lebih comel dan mudah nak makan, sekali gigit saja.
Untuk biskut ini, saya menggunakan nozel bintang yang bersaiz kecil (saya tak pasti kod nozel tu sebab saya beli satu set nozel yang bersaiz kecil, tetapi pada nozel tu tiada pula dinyatakan kodnya).
Anda boleh pakai nozel saiz standard untuk membuat butter cookies ataupun nozel French star, terpulang pada kreativiti masing-masing.
Di sini saya nak bagi sedikit tips cara untuk mendapatkan biskut yang lebih rangup.
Selain menambah tepung jagung ke dalam doh biskut, anda boleh sesuaikan waktu dan suhu membakar biskut.
Disebabkan customer dan keluarga saya suka makan biskut yang rangup dari yang "chewy", saya panjangkan sedikit masa membakar dan saya bakar dengan suhu yang lebih rendah.
Biasanya suhu membakar biskut yang saya gunakan ialah antara 160℃ ke 170℃ manakala tempoh membakar biskut ialah antara 20 ke 35 minit, bergantung kepada saiz dan jenis biskut itu sendiri.
Walau bagaimanapun suhu dan tempoh masa untuk membakar biskut sebenarnya bergantung kepada ketuhar masing-masing, jadi anda sebagai pemilik ketuhar perlu sesuaikan suhu dan tempoh membakar sehingga anda dapat tekstur biskut yang anda ingini.
Untuk menonton video tutorial langkah demi langkah tentang cara penyediaan biskut pandan gula Melaka, anda boleh tonton menerusi pautan video di bawah 👇
source from the buttery bites youtube: https://youtu.be/NsU9FajkmyQ
Resepi biskut pandan gula Melaka ini walaupun ianya tanpa telur, rasanya amat sedap, memang sesuai bagi peminat biskut tanpa telur atau sesiapa yang alah pada telur.
InsyaAllah, jika ada kesempatan, saya akan olah resepi biskut pandan gula Melaka yang menggunakan telur pula.
Tanpa membuang masa, mari kita semak resepi biskut ini dahulu.
Selamat mencuba & Happy baking! ❤
Biskut Pandan Gula Melaka Tanpa Telur
Kategori : Biskut Raya
Masa Penyediaan : 45 minit
Masa Membakar : 25 minit
Jumlah Hidangan : Anggaran 240 keping mini biskut
BAHAN-BAHAN
Doh Biskut :
250 gram Buttercup/ mentega bergaram (lembutkan) - 1 cawan
120 gram gula pasir dikisar halus - 2/3 cawan & 1 sudu besar
125 ml minyak jagung - 1/2 cawan
60 gram krim santan KARA - 4 sudu besar
2 sudu teh pandan emulco/pes pandan
60 gram tepung kastad - 1/2 cawan
117 gram tepung jagung - 1 cawan & 1 sudu besar
282 gram tepung gandum (saya pakai Baker's Choice) - 2 & 1/4 cawan
Hiasan :
Hirisan gula Melaka secukupnya
Kelapa parut Hawaii secukupnya
CARA MEMBUAT
Hiris nipis gula Melaka menggunakan pisau yang nipis dan tajam. Untuk lebih mudah, keluarkan dahulu gula Melaka 30 minit dari peti sejuk sebelum dihiris supaya tidak terlalu keras. Masukkan ke dalam mangkuk dan tutup mangkuk dengan cling wrap supaya gula tidak terdedah dengan udara. Ketepikan dahulu atau simpan dalam peti sejuk sebelum digunakan.
Di dalam mangkuk pengadun, satukan mentega/Buttercup bersama gula pasir yang telah dikisar halus. Whisk sampai adunan pucat (tidak perlu sehingga kembang ya).
Masukkan minyak jagung dan whisk sebati. Kemudian, masukkan krim santan KARA dan pandan emulco dan whisk lagi sehingga warna adunan sekata.
Ayakkan tepung jagung, tepung kastad dan tepung gandum ke dalam adunan dan adun menggunakan spatula sehingga menjadi doh. (Anda boleh ayak dahulu ketiga-tiga tepung kemudian masukkan ke dalam adunan). Adunan memang sedikit lembik supaya mudah untuk dipaip.
Masukkan sebahagian adunan ke dalam beg plastik piping, kemudian masukkan beg plastik piping yang berisi doh ke dalam lagi satu beg piping plastik yang dimasukkan nozel. Saya pakai nozel bintang 5 bersaiz kecil. Paipkan doh menjadi bentuk rosette ke atas loyang pembakar yang telah dialas dengan kertas pembakar/silpat/teflon baking mat supaya biskut mudah untuk dikeluarkan dari loyang setelah dibakar nanti. jarakkan 1.5 cm antara biskut kerana biskut akan mengembang sedikit setelah dibakar.
Sudukan sedikit hirisan gula Melaka pada bahagian tengah biskut kemudian letakkan sejemput kecil kelapa parut Hawaii.
Bakar biskut pada suhu 160℃ selama 20 ke 25 minit pada rak tengah, dengan menggunakan api atas bawah. Sebelum itu, panaskan dahulu ketuhar selama 15 minit sebelum membakar biskut.
Sejukkan biskut sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.
Enjoy!
Comments