Assalamualaikum..
Salah satu bun savory yang sentiasa menjadi kegemaran kami selain ialah bun berintikan kari ayam.
Saya membuat inti kari ayam yang sedikit berbeza dari resepi inti kari ayam yang biasa digunakan sebagai inti karipap atau pau.
Biasanya, inti kari ayam menggunakan daging ayam yang dicincang atau dipotong kecil dan dimasak bersama kentang yang dipotong dadu.
Tetapi versi inti kari ayam yang saya olah untuk bun ini menggunakan daging ayam yang rebus bersama garam dan dicarik terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam inti kari.
Disebabkan daging ayam ini dicarik, isi daging ayam ini lebih kenyal dengan urat yang lebih panjang, tidak seperti tekstur daging ayam yang dicincang atau dipotong kecil.
Keistimewaan bun kari ayam ini, selain cara ayamnya dimasak, ianya disalut dengan serbuk roti dan ditambah keju Mozzarella.
Saya mengambil inspirasi dari Japanese curry bun atau nama Jepunnya Kare Pan カレーパン yang popular dimana bunnya dibentukkan bujur, kemudian diisi dengan kari Jepun ayam, kentang atau daging yang rasanya lemak manis kemudian disalut dengan serbuk roti Panko dan digoreng secara "deep fry" sehingga keemasan.
Tekstur Kare Pan ini lebih nipis dan kenyal, tidak gebu, berbeza dengan tekstur roti kari ayam keju versi saya.
Rasa roti kari ayam berkeju ini memang sedap, setelah dibiarkan pada suhu bilik roti kekal lembut, hanya kulit luarnya sahaja tidak akan serangup seperti ketika roti dinikmati semasa masih panas.
Disebabkan cuaca yang tidak menentu sekarang dan kerap hujan, saya hanya proofingkan doh roti sekali sahaja untuk menjimatkan masa.
Di dalam resepi ini, saya ada menambah dedak gandum (wheat bran/germ) untuk menambah serat pada doh roti memandangkan saya tidak menggunakan tepung gandum penuh untuk resepi ini.
Bun ini memang extra lembut disebabkan saya letak bread improver.
Saya beli bread improver ini sebenarnya untuk membuat roti benggali, disebabkan masih banyak stok bread improver di rumah, saya masukkan ke dalam doh bun ini.
Anda boleh abaikan bread improver dan dedak gandum jika tiada stok di rumah.
Pakai sahaja bahan yang ada asalkan bahan-bahan asas membuat roti seperti tepung, yis, gula, garam, telur dan mentega tidak ditinggalkan.
Tonton video langkah demi langkah tentang cara membuat Bun Kari Ayam Berkeju yang mudah dan lazat ini di sini :
Cara Menyimpan Bun Kari Ayam Berkeju :
Bun yang telah sejuk boleh disimpan di dalam bekas bertutup dan boleh bertahan selama 2 hari pada suhu bilik.
Bun boleh bertahan selama 7 hari jika disimpan di dalam peti sejuk.
Biasanya saya akan simpan bun yang telah sejuk di dalam peti sejuk, kemudian, saya akan bakar sekejap lebih kurang 10 minit pada suhu 160℃ sebelum dinikmati supaya tekstur bun menjadi lembut, gebu dengan bahagian luarnya yang rangup.
Jika anda suka menikmati bun savory, anda boleh cuba resepi bun kari ayam berkeju yang mudah disediakan ini.
Selamat mencuba!
Bun Kari Ayam Berkeju
Kategori : Roti & Bun
Masa Penyediaan : 25 minit
Masa Rehat/ Proofing : 45 minit
Masa Memasak : 25 minit
Masa Membakar : 25 minit
Jumlah Hidangan : 12 keping
BAHAN-BAHAN
Inti Kari Ayam:
450 gram isi ayam
1 liter air
1 sudu teh garam
25 gram minyak masak (2 & 1/2 sudu besar)
15 gram mentega bergaram/marjerin (1 sudu besar)
20 gram bawang putih parut (3 ulas)
125 gram bawang besar cincang (1 biji)
125 ml air rebusan ayam (1/2 cawan) - masukkan kali pertama
21 gram serbuk kari daging (3 sudu besar)
4 gram serbuk cili (1/2 sudu besar)
170 gram kentang potong dadu (2 biji saiz medium)
45 gram lobak merah potong dadu (1/4 batang)
125 ml air rebusan ayam (1/2 cawan) - masukkan kali kedua
Isi ayam yang telah dicarik
Garam secukupnya
Serbuk lada hitam kasar secukupnya
Gula secukupnya
Doh Bun:
160 ml susu segar/susu sejat/susu penuh krim/air (2/3 cawan ) - suam kuku
24 gram gula pasir halus (2 sudu besar)
5 gram yis kering segera (1 & 1/2 sudu teh)
1 biji telur gred A
250 gram tepung roti (2 cawan)
80 gram tepung gandum (1/2 cawan & 2 sudu besar)
12 gram dedak gandum/wheat bran/wheat germ (2 sudu besar) * optional
6 gram bread improver (1 & 1/2 sudu teh) * optional
6 gram garam (1 sudu teh)
45 gram mentega bergaram/marjerin (3 sudu besar)
Bahan Salutan:
Serbuk roti secukupnya (Anggaran 1 & 1/4 cawan)
2 biji telur
Bahan Lain:
Parutan keju Mozzarella secukupnya
CARA MEMBUAT
Inti Kari Ayam
Didihkan 1 liter air di dalam periuk. Kemudian, masukkan garam, kacau rata dan masukkan isi ayam. Rebus selama 10 minit sehingga ayam masak dan jus ayam berwarna jernih bila dicucuk menggunakan garfu.
Keluarkan isi ayam yang telah masak dan biarkan sejuk sebentar sebelum dicarik.
Simpan air rebusan ayam untuk memasak inti.
Di dalam kuali, panaskan minyak masak bersama mentega/marjerin sehingga mentega/marjerin hampir cair kesemuanya.
Masukkan bawang putih yang telah diparut diikuti dengan bawang besar yang didadu dan tumis sehingga naik bau.
Masukkan 125 ml air rebusan ayam, diikuti dengan serbuk kari daging dan serbuk cili. Kacau rata dan tumis sehingga rempah sedikit pekat dan menjadi seperti pes.
Masukkan kentang dan lobak merah, diikuti dengan lagi 125 ml air rebusan ayam. Kacau sebati kemudian tutup dan biarkan mereneh dengan api sederhana rendah sehingga kentang empuk.
Setelah kentang empuk, masukkan ayam yang telah dicarik dan gaul sebati. Kuah telah kering waktu ini.
Perasakan dengan garam, gula dan serbuk lada hitam kasar secukupnya. Kacau sebentar kemudian boleh padamkan api.
Doh Roti:
Di dalam mangkuk pengadun, masukkan susu/air suam kuku, telur, yis dan gula. Kacau sebentar menggunakan hand whisk.
Masukkan tepung roti, tepung gandum, garam, bread improver dan dedak gandum dan adun menggunakan senduk kayu/spatula.
Uli mengunakan tangan jika doh mula terasa berat jika diadun menggunakan senduk/spatula sehingga terbentuk doh kasar yang sedikit melekit.
Tutup mangkuk dengan kain bersih dan rehatkan selama 10 minit.
Selepas 10 minit, masukkan mentega/marjerin dan sebatikan bersama doh.
Pindahkan doh ke atas permukaan kerja/papan pencanai yang telah ditabur tepung secukupnya dan uli secara "stretch and fold" .
Apabila doh sudah mula melekat pada permukaan kerja/papan pencanai, "slap and fold" doh sehingga elastik dan permukaannya liin, lebih kurang 8 ke 10 minit.
Setelah selesai menguli, bahagikan doh kepada 12 bahagian sama besar (anggaran 53 gram setiap bahagian).
Bulat-bulatkan setiap bahagian doh dan susun di atas permukaan yang ditabur sedikit tepung. Tutup bebola doh dan rehatkan selama 15 minit supaya mudah untuk dicanai.
Membentuk Doh Roti:
Selepas 15 minit, tabur tepung secukupnya pada permukaan kerja dan ambil bebola doh yang pertama. Canai doh berbentuk bulat dengan bahagian tepi doh dicanai lebih nipis.
Isikan dalam 1 & 1/2 sudu besar inti dan letak sedikit keju Mozzarella di atas inti.
Tutup doh dengan rapat supaya inti tidak terkeluar.
Ulang untuk 11 bebola doh yang lain.
Menyalut Doh Roti:
Pecahkan 2 biji telur di dalam mangkuk leper dan kacau ringan.
Celup doh roti satu per satu di dalam telur kemudian salut dengan serbuk roti.
Masukkan doh roti dalam kertas cawan roti jika suka, atau boleh disusun di atas loyang pembakar yang telah dialas dengan silpat atau kertas pembakar supaya mudah untuk mengeluarkan roti dari loyang setelah dibakar.
Tutup doh roti dengan plastik atau kain bersih dan rehatkan 30 minit.
Membakar Roti:
Selepas 20 minit proofing, panaskan ketuhar pada suhu 190℃ selama 10 minit. Bakar roti selama 20 ke 25 minit pada rak tengah, sehingga roti berwarna keemasan.
Setelah siap dibakar, keluarkan dari ketuhar dan roti siap untuk dihidang!
Comentarios