Assalamualaikum...
Dah lama betul saya tak buat donat, padahal donat ni dohnya tidak jauh beza dari doh roti.
Cuma yang berbeza ialah roti dibakar sementara donat digoreng dalam minyak yang banyak.
Bila nampak tutorial donat dari beberapa Youtubers Indonesia di homepage Youtube saya, tiba-tiba craving donat kentang.
Kebetulan stok kentang pun masih banyak bolehlah buat dengan menggunakan topping yang ringkas seperti coklat masakan cair, coklat rice, colorful sprinkles, hirisan badam yang dibakar sebentar, cip kopi dan Lotus Biscoff spread.
Kalau ada anak-anak, bolehlah buat sendiri donat kentang yang mudah, sedap dan lembut ni, sudah pasti berebut makan, lebih-lebih lagi kalau dihias dengan topping.
Kali ni rajin pula mood nak menguli doh donat secara manual sahaja sebab dah agak lama tak exercise tangan.
Sebelum menyediakan doh, kentang perlu direbus sehingga empuk sebelum dilecek halus.
Kentang yang telah dilecek perlu disejukkan terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam doh.
Dalam resepi ini, saya menggunakan dua jenis tepung, iaitu tepung roti atau tepung berprotein tinggi dan tepung gandum untuk menghasilkan donat yang gebu dan ringan.
Resepi ini hanya memerlukan sekali proofing iaitu setelah donat dibentukkan untuk menjimatkan masa, tak perlu tunggu 2 jam untuk proofing doh.
Memandangkan cuaca di tempat saya mendung waktu petang, saya perlu organize waktu saya buat shooting video sebelum cuaca menjadi mendung.
Walaupun ada lampu studio, tetapi saya lebih suka gunakan natural light, sebab gambar lebih cantik, tapi kalau sudah terpaksa dan tak sempat nak siapkan shooting, terpaksa juga pakai lampu studio.
Bahagian membuat donat yang paling mencabar bagi saya ialah nak kawal suhu sewaktu menggoreng donat.
Ada beberapa tips yang saya dapat melalui tutorial video membuat donat iaitu kita disarankan untuk menggunakan suhu paling rendah sewaktu menggoreng donat, tetapi bagi saya jika terlalu rendah donat akan menyerap minyak.
Tetapi jika suhu terlalu tinggi sewaktu menggoreng, donat akan cepat hangus sementara bahagian dalamnya masih mentah.
Masa standard untuk menggoreng donat ialah 1 ke 2 minit untuk setiap bahagian, dengan suhu 180℃.
Saya lebih suka menggunakan suhu 160℃ sewaktu menggoreng kerana jika saya gunakan suhu 180℃ donat saya terlalu cepat gelap.
Donat yang sempurna akan mengembang dengan cantik sewaktu digoreng sehingga terbentuk lingkaran putih atau "White ring" di antara kedua belah donat, dengan warna donat yang keemasan, tidak terlalu pucat atau terlalu gelap, just nice..
Untuk mendapatkan "White ring" pastikan waktu proofing cukup, tidak " underproof" atau "overproof".
Sebab itu waktu proofing bergantung kepada suhu bilik dan masa yang direkomendasi dalam tutorial sebenarnya hanya anggaran waktu proofing sahaja.
Anda perlu tahu jika donat anda telah sedia untuk digoreng.
BAGAIMANA NAK TAHU JIKA DONAT TELAH CUKUP PROOFING?
Setelah proofing selama 30 hingga 45 minit, cuba tekan sedikit donat dengan jari. Jika donat meninggalkan kesan lekukan ini bermakna donat telah cukup proofing dan siap untuk digoreng.
Tetapi jika donat cepat menganjal semula (bounce back), donat masih belum cukup proofing.
Untuk tutorial video langkah demi langkah tentang cara membuat donat kentang dengan topping yang simple, tonton menerusi pautan video di bawah ini 👇
Donat ini teksturnya sangat lembut, dengan poket udara yang halus, memang berbaloi untuk buat sendiri di rumah.
Donat kekal lembut berhari-hari walaupun telah dimasukkan ke dalam peti sejuk.
Selamat mencuba! 💖
Donat Kentang
Kategori : Kuih Muih
Masa Penyediaan : 25 minit
Masa Memasak : 20 minit
Masa Proofing : 75 minit
Jumlah Hidangan : 12 biji
BAHAN-BAHAN
Doh Donat:
114 gram kentang (1 biji saiz medium)
Anggaran 118 ml susu segar/ susu penuh krim (suam kuku) | 1/3 cawan & 2.5 sudu besar
24 gram gula pasir halus/ gula kastor | 2 sudu besar
6 gram yis kering segera | 2 sudu teh
220 gram tepung roti | 1 & 3/4 cawan
65 gram tepung gandum | 1/2 cawan
3 gram garam | 1/2 sudu teh
38 gram mentega (lembutkan) / marjerin | 2.5 sudu besar
Topping:
Coklat masakan gelap secukupnya
Lotus Biscoff spread secukupnya
Coklat rice
Colorful sprinkles
Cip kopi / cip coklat
Hirisan badam yang dibakar sebentar
Gula pasir halus/gula kastor
CARA MEMBUAT
Doh Donat :
Rebus kentang yang telah dikupas kulit dan dipotong kecil sehingga empuk selama 8 ke 10 minit. Setelah empuk, keluarkan kemudian lecek menggunakan garfu/ potato masher/anak lesung sehingga halus. Biarkan kentang lecek sejuk sebelum dicampur ke dalam doh.
Di dalam mangkuk pengadun, masukkan susu suam (saya masukkan 110 ml dahulu, kemudian baru adjust sukatannya setelah ditambah tepung supaya adunan tidak terlembik). Masukkan yis kering dan gula halus. Whisk sebentar untuk larutkan yis.
Masukkan tepung roti, tepung gandum, garam dan kentang lecek yang telah sejuk dan adun menggunakan spatula/scrapper sehingga campuran menyatu.
Tambah sedikit susu jika adunan masih kering (saya tambah 1/2 sudu besar susu = 8 ml, jadi total susu yang saya gunakan ialah 118 ml (110 ml saya masukkan awal dan 8 ml saya tambah kemudian)).
Uli menggunakan tangan sebentar kemudian pindahkan ke papan pencanai yang ditabur sedikit tepung. Uli selama lebih kurang 3 minit untuk membentuk gluten.
Lebarkan doh kemudian tambah mentega/marjerin. Adun sehingga kesemua bahan menyatu.
Setelah itu, uli selama 8 ke 10 minit sehingga doh licin dan elastik. Jika nak tahu sama ada doh telah cukup uli, ambil sedikit doh kemudian cuba regangkan. Jika cahaya boleh menembusi doh bermakna doh telah cukup uli (windowpane test).
Bahagikan kepada 12 bahagian dengan berat 50 gram untuk setiap bahagian.
Bulat-bulatkan dan susun di atas permukaan yang telah ditabur tepung. Tutup bebola doh dengan cling wrap/ tuala bersih dan rehatkan 15 minit.
Setelah 15 minit, ambil satu doh, leperkan sedikit kemudian bulatkan semula sehingga permukaannya licin. Canai menggunakan kayu pencanai berbentuk bulat berdiameter 9 cm.
Celup belakang nozel dalam tepung dan terap bahagian tengah doh untuk membuat lubang.
Ketepikan doh yang diterap tadi untuk digoreng dan pindahkan donat di atas sekeping kertas pembakar yang telah ditabur sedikit tepung. Ulang langkah sama untuk 11 biji bebolah doh seterusnya.
Tutup donat dengan kain bersih/plastik dan proofingkan selama 45 ke 60 minit, sehingga mengembang dua kali ganda dan dohnya tidak lagi menganjal jika ditekan dengan jari.
Menggoreng Donat :
Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali dalam 10 minit sebelum habis waktu proofing dengan suhu sederhana rendah. Anda boleh monitor suhu menggoreng pada suhu antara 160℃ ke 180℃ jika ada termometer.
Setelah minyak cukup panas, goreng donat dalam 3 ke 4 biji untuk satu masa, bergantung kepada lebar kuali. Goreng selama 1 minit untuk setiap belah dan tak perlu balik-balikkan donat banyak kali, cukup hanya sekali sahaja donat dibalikkan. Goreng sehingga kedua belah donat keemasan.
Angkat donat dan toskan minyaknya di atas redai atau tisu dapur. Donat yang sempurna akan nampak "white ring" di bahagian tengahnya, menandakan donat cukup masa proofingnya, tidak "underproof" atau "overproof".
Salut donat dengan gula pasir halus atau gula kastor setelah donat suam, atau boleh disalut dengan coklat masakan dan hias dengan coklat rice, coklat rice berwarna-warni, badam dan Lotus Biscoff spread yang telah dipanaskan sebentar secara double boiled.
Comentarios