top of page
Writer's pictureThe Buttery Bites

Resepi Kek Buah Kukus Yang Lembap


Resepi Kek Buah Kukus Yang Lembap
Resepi Kek Buah Kukus Yang Lembap

Assalamualaikum readers...


Salah satu kek yang wajib ada untuk memeriahkan meja di pagi Lebaran, apa lagi kalau bukan kek buah kukus. Kek buah kukus ni ada dua versi - satu versi yang diletak rempah dan satu lagi versi tanpa rempah.


Saya kurang suka rasa kek yang berempah, sebab pada saya rasanya kurang padan dengan rasa mixed fruits tu. Sebaliknya, saya lebih sukakan kek buah yang rasanya masam manis, dari mixed fruits tu sendiri dan juga jus oren segar. Rasanya memang memikat selera, apatah lagi dengan rasa karamel dan mentega yang rich and buttery tu.

Versi kek buah kukus yang saya ingin kongsikan kali ini ialah versi yang saya telah ubah sedikit, dari segi kuantiti bahannya dan juga teknik membuatnya.



Resepi Kek Buah Kukus Yang Lembap
Resepi Kek Buah Kukus Yang Lembap

Sebelum ni, saya hanya menggunakan 1 & 1/4 cawan gula pasir untuk dijadikan karamel, sementara untuk resepi kali ini saya tambah lagi 1/4 cawan gula pasir, menjadikan total gula pasir yang saya gunakan untuk resepi ini ialah 1 & 1/2 cawan (300 gram). Walaupun gula pasirnya saya tambah, saya kurangkan sukatan susu pekat manis menjadi 40 gram saja berbanding resepi sebelum ni yang menggunakan 60 gram susu pekat manis. Tepungnya saya kurangkan kepada 3 cawan saja (375 gram) untuk mendapatkan tekstur kek buah yang lebih moist dan tidak terlalu mampat.


Tonton Video Untuk Resepi Kek Buah Kukus Saya Versi Lama Di Sini 👇



Teknik memukul telur untuk kek buah kukus versi ni saya pukul telur bersama esen vanilanya sehingga kembang dan berkrim, sebelum ditambah ke dalam adunan kek buah. Hasilnya, kek buah saya naik lebih tinggi dengan tekstur yang lebih lembut.


Kek buah ni makin lama makin moist dan sedap rasanya kerana kesemua rasa pada adunan kek dan mixed fruitsnya telah sebati dan mesra. Saya amat galakkan anda untuk pakai mentega premium untuk mendapatkan hasil kek buah yang lebih rich dan moist, seperti Golden Churn.


Tonton Video Di Sini 👇



Selain mixed fruits, saya tambahkan kismis sultana dan sedikit potongan ceri hijau untuk membuat kek buah kukus ni. Disebabkan mixed fruits yang saya beli tu warnanya kurang menarik, sebab tu saya tambah ceri hijau, kebetulan stok ceri merah dah habis untuk dibuat semperit dahlia, yang tinggal cuma ceri hijau. Jadi, terpaksalah saya pakai ceri hijau saja untuk membuat kek ni..takpelah kan...asalkan menjadi dan sedap..Hehe..


Kalau anda nak beli mixed fruits yang warnanya cantik, bolehlah beli di kedai bahan bakeri Bake WIth Yen, saya rasa warna mixed fruitsnya menarik dan lebih banyak potongan ceri merah.



Resepi Kek Buah Kukus Yang Lembap
Resepi Kek Buah Kukus Yang Lembap

Saya ada terbaca Tips macam mana nak membuat kek buah kukus kita ni lebih moist. Ada yang menyarankan supaya telur jangan dipukul lama, hanya kacau ringan saja. Untuk resepi kek kukus ni, telurnya saya pukul sampai kembang dan berkrim, tetapi hasil kek saya tetap moist. Jadi, untuk bahagian telur ni, terpulang pada yang tukang buat, nak kacau ringan saja pun boleh nak pukul sampai kembang macam cara saya ni juga boleh ya.

Selain itu, kek buah juga mengambil masa yang lama untuk mengukus, dalam 3 ke 4 jam untuk mendapatkan kek yang lebih moist dan tahan lama. Kek buah yang telah siap dikukus juga dibiarkan di atas pengukus sekurang-kurangnya sehingga kek suam sebelum dibalut dengan aluminum foil.

Untuk resepi kek kukus ni, selepas saya kukus kek selama 4 jam, saya buka aluminum foil pada loyang kek dan buka sedikit penutup pengukus dan biarkan kek di dalam pengukus sehingga hampir sejuk, kira-kira 5 jam. Tujuan saya buka aluminum foil yang menutup loyang tu ialah supaya wap yang berlebihan ada dalam loyang kek keluar, jadi, bahagian bawah kek tidak menjadi basah. Jika wap terperangkap lama dalam loyang, kek akan menjadi basah dan soggy. Kek basah dan soggy ni tak sama dengan kek yang moist tau, kek basah dan soggy ni ialah kek yang dah masuk air, tekstur kek akan jadi kembang dan benyek (soggy), jadi berbeza dengan moist, yang mana haba dari kek yang suam menjadi cecair dan juga lemak dari mentega yang menjadikan kek moist.


Kek buah yang telah suam bolehlah dikeluarkan dari loyang kemudian dibalut dengan aluminum foil/ cling wrap sebelum disejukkan semalaman dalam peti sejuk sebelum dipotong. Jika anda balut kek ni semasa masih panas, takut2 kek takkan tahan lama sebab terlalu banyak wap yang menjadi cecair dalam kek tu nanti. Jadi, balutlah kek ketika kek telah suam ya sebelum kita simpan kek tu dalam peti sejuk.


Ada juga TIPS macam mana nak elak mixed fruits dari mendap ke dasar kek buah iaitu dengan menggaul mixed fruits dengan tepung sebelum dimasukkan ke dalam adunan kek. Mungkin teknik ni berguna untuk membuat kek buah versi bakar, tetapi kalau kek buah versi kukus ni mixed fruits nya kita dah masak sekali dalam karamel tu, jadi, teksturnya dah jadi ringan sebab gula yang menyaluti mixed fruitsnya telah cair.

Cara saya, lepas masukkan mentega dalam karamel tu, selepas mentega cair, saya akan masukkan mixed fruits. Kemudian, saya reneh sekejap campuran karamel dan mixed fruits tu dengan api sederhana rendah sampai sedikit menggelegak, baru saya matikan api dan sejukkan sepenuhnya.


Tujuan saya masak lama sikit adunan tu ialah untuk memastikan gula yang menyaluti mixed fruits tu benar-benar telah cair supaya mixed fruitsnya ringan dan hasilnya, mixed fruits ni tak mendap ke dasar kek setelah dikukus.


Resepi Kek Buah Kukus Yang Lembap
Resepi Kek Buah Kukus Yang Lembap

Kek buah kukus boleh bertahan untuk jangka masa yang agak lama kalau dibiarkan pada suhu bilik saja. Ia boleh tahan sampai 3 minggu jika disimpan dalam bekas bertutup dan jauh dari cahaya matahari pada suhu bilik.


Untuk tahan lebih lama, simpan kek buah dalam peti sejuk atau boleh juga kalau nak frozenkan. Balut kek dengan aluminum foil kemudian simpan kek dalam peti sejuk atau freezer. Kek yang disimpan dalam peti sejuk boleh bertahan sehingga 3 bulan sementara jika disimpan dalam freezer, kek boleh bertahan sehingga 6 bulan.


Untuk menjadikan kek buah kukus yang telah disimpan lama dalam peti sejuk atau freezer, kukus semula kek buah sehingga kek menjadi lembut dan lembap semula sebelum dihidangkan.


Bagi yang memang sukakan kek buah kukus ni, memang berbaloi kalau anda buat sendiri sebab kalau nak beli pun harganya memang agak mahal disebabkan kos untuk membuatnya dan juga masa mengukus kek yang lama. Kek ni memang sesuai dijadikan buah tangan atau dihidangkan kepada para tetamu, terutamanya pada musim perayaan.


Selamat mencuba!



Kek Buah Kukus


Resepi Kek Buah Kukus Yang Lembap
Resepi Kek Buah Kukus Yang Lembap

Kategori : Kek

Masa Penyediaan : 40 minit

Masa Mengukus : 4 jam

Jumlah Hidangan : 1 buku kek bersaiz 8 x 8 inci


BAHAN-BAHAN


Resepi Kek Buah Kukus Yang Lembap
Resepi Kek Buah Kukus Yang Lembap

300 gram gula pasir | 1 & 1/2 cawan

60 ml air panas | 1/4 cawan

250 gram mentega bergaram | 1 cawan * saya pakai Golden Churn

3 gram parutan kulit oren | dari 1 biji oren

90 gram jus oren | dari 1 biji oren (ATAU campurkan 2 sudu besar Sunquick bersama 1/3 cawan (80 ml) air)

40 gram susu pekat manis | 1/8 cawan

300 gram buah campuran (mixed fruits) | 2 cawan

150 gram kismis sultana / kismis | 1 cawan

85 gram ceri merah/hijau (belah dua) | 1/3 cawan

375 gram tepung gandum | 3 cawan

6 gram baking soda | 1 & 1/2 sudu teh

4 gram cream of tartar | 1 sudu teh

3 biji telur gred A

1 sudu teh esen vanila


CARA MEMBUAT :


Resepi Kek Buah Kukus Yang Lembap
Resepi Kek Buah Kukus Yang Lembap

  1. Untuk membuat karamel, cairkan gula pasir dalam kuali atau periuk yang tebal bahagian bawahnya (heavy bottomed) dengan api sederhana ke sederhana rendah. Kawal suhu ya supaya gula tidak cepat hangus.

  2. Lenggangkan kuali/periuk sekali-sekala supaya gula cair merata, kalau boleh jangan kacau supaya gula tidak menjadi keras dan berketul (dalam video saya terpaksa kacau sebab bahagian bawahnya dah hampir hangus, saya tinggal sekejap untuk adjust kamera 😅).

  3. Cairkan gula sehingga warnanya perang gelap, kemudian perlahankan api dan tuang air panas perlahan-lahan.

  4. Masak sehingga gula larut sepenuhnya dengan api sederhana rendah.

  5. Kemudian, masukkan mentega dan biarkan mentega sehingga cair. Setelah cair, masukkan parutan kulit oren, jus oren, susu pekat manis, buah campuran, sultana dan ceri. Masak dengan api sederhana rendah sehingga sedikit menggelegak.

  6. Setelah itu, padamkan api dan sejukkan sepenuhnya. (Boleh juga sejukkan adunan dalam mangkuk tahan panas).

  7. Setelah adunan sejuk, panaskan pengukus.

  8. Campur bersama tepung gandum, cream of tartar dan baking soda. Kacau sebati dan ayak.

  9. Masukkan sebahagian tepung ke dalam adunan karamel, adun secara kaup balik menggunakan spatula sehingga sebati dan masukkan baki tepung. Adun lagi sampai sebati saja.

  10. Di dalam mangkuk yang lain, putar telur dan esen vanila sehingga kembang dan berkrim dengan kelajuan sederhana tinggi.

  11. Masukkan telur dengan tiga peringkat ke dalam adunan dan kaup balik perlahan sehingga sebati.

  12. Ulang sehingga telur habis. Adun sehingga sebati saja ya jangan terlebih adun.

  13. Tuang adunan ke dalam loyang segiempat bersaiz 8 x 8 inci (20 x 20 cm) yang dilenser dengan mentega dan dialas dengan kertas pembakar pada bahagian bawahnya kemudian dioles lagi permukaan kertas pembakar dengan mentega.

  14. Jangan hentak loyang supaya buah campuran tidak mendap ke bawah, hanya ratakan permukaan kek menggunakan spatula.

  15. Lenser bahagian dalam aluminum foil untuk menutup loyang dengan mentega untuk mengelakkan bahagian atas kek dari melekat pada aluminum foil.

  16. Tutup loyang kek dengan aluminum foil.

  17. Kukus kek dengan api sederhana untuk 1 jam pertama, kemudian, kukus dengan api sederhana rendah untuk 3 jam seterusnya. Penutup pengukus tidak perlu dibungkus dengan kain sebab loyang kek telah ditutup rapat dengan aluminum foil.

  18. Tambahkan air panas mendidih sekali-sekali sewaktu mengukus supaya air kukusan tidak berkurangan.

  19. Setelah 4 jam, tutup api pengukus.

  20. Buka aluminum foil dan buka sedikit penutup pengukus supaya wap yang berlebihan keluar. Biarkan kek suam di dalam pengukus.

  21. Setelah kek suam, keluarkan kek dari loyang dan balut kek dengan aluminum foil atau cling wrap (lebih baik aluminum foil ya) dan sejukkan kek semalaman sebelum memotong kek.

  22. Setelah kek sejuk dan mampat, potong kek menggunakan pisau yang tajam. kek sedia untuk dihidangkan!



Resepi Kek Buah Kukus Yang Lembap
Resepi Kek Buah Kukus Yang Lembap


591 views0 comments

Comments


bottom of page