Assalamualaikum..
Dah lama saya teringin nak cuba membuat roti sosej yang menggunakan sosej jumbo ni.
Ditambah pula dengan rasa garlic butter yang manis dan parutan keju, sememangnya roti yang menjadi pilihan terutama bagi peminat roti garlic.
Roti sosej ini sebenarnya saya mengambil inspirasi dari roti sosej berkeju yang viral di Korea, roti sosej mereka menggunakan sosej yang bersaiz biasa tetapi lebih panjang.
Beza antara roti sosej saya dengan roti sosej yang viral ini ialah penggunakan isiannya.
Roti sosej mereka menggunakan isian krim keju, sementara saya menggunakan garlic butter.
Untuk sapuan pada roti pula, roti sosej yang viral tu menggunakan dua jenis sapuan, pertama, sapuan garlic butter dan yang kedua ialah sapuan sos pedas.
Saya hanya menggunakan sapuan garlic butter yang saya tambahkan sedikit susu pekat manis untuk memberikan rasa manis.
Roti sosej ini teksturnya sangat lembut dan mulus, walaupun serat roti tak berapa kelihatan disebabkan "nature" roti yang bukan jenis "pull'apart".
Dohnya saya menggunakan Tangzhong, iaitu pes yang diperbuat dari tepung roti yang dicampur dengan air atau susu, kemudian, dimasak di atas api yang perlahan sehingga campuran menjadi pekat seperti doh mochi.
Tangzhong ialah pes tepung yang telah digunakan secara meluas terutamanya di Asia yang menjadikan tekstur roti lebih gebu dan lembut selama berhari-hari.
Biasanya, formula untuk membuat Tangzhong ialah 1:5 iaitu 1 bahagian tepung dicampur dengan 5 bahagian air.
Agak mencabar juga nak develop resepi yang menggunakan kedua-dua sukatan ni (sukatan cawan & gram) sebenarnya.
Sejujurnya, kalau nak develop resepi lebih mudah menggunakan sukatan gram sebab lebih tepat.
Tetapi, semenjak saya aktif mengupload video di Youtube, saya cuba biasakan diri untuk sesuaikan resepi saya supaya boleh pakai kedua-dua sukatan, walaupun kadang-kadang sukatan akan sedikit berbeza antara satu resepi dengan yang lain.
Saya akan menimbang setiap bahan setelah saya sukat menggunakan cawan/sudu, cuma kadang-kadang terdapat 1 ke 2 gram perbezaan sukatan dari resepi sebelumnya, sebab tu saya selalu akan recommend viewer untuk refer pada resepi tanpa bandingkan dengan resepi yang saya yang lain.
Untuk menonton video tutorial langkah demi langkah tentang cara menyediakan Garlic Cheese Sausage Bread yang lazat ni, boleh klik pautan video di bawah ini:
Jika anda memang peminat variasi roti sosej, anda perlu cuba resepi roti sosej yang mewah rasa sweet garlic butter dan keju ni.
Saya menggunakan parutan keju Parmesan untuk toppingnya, tetapi pada pendapat saya rasanya akan lebih sedap jika anda pakai parutan keju Cheddar.
Pes Tangzhong boleh disediakan lebih awal dan disimpan di dalam peti sejuk selama 2 ke 3 hari.
Simpan pes Tangzhong di dalam bekas bertutup supaya permukaannya tidak kering.
Pes Tangzhong yang siap dimasak perlu disejukkan terlebih dahulu sebelum dicampur ke dalam doh kerana jika anda masukkan pes yang masih panas, ianya akan membuatkan adunan menjadi terlalu hangat.
Adunan roti yang terlalu hangat boleh mengganggu proses fermentasi yis dan juga tekstur doh.
Doh yang terlalu hangat akan menjadi terlalu lembik dan kurang elastik.
Hasilnya, tesktur roti akan menjadi mampat dan tidak gebu.
Berapa lama Garlic Cheese Sausage Bread ini boleh bertahan?
Disebabkan roti ini menggunakan sosej sebagai bahan utama, roti ini hanya boleh bertahan dalam masa 2 hari sahaja pada suhu bilik, dengan syarat roti disimpan di dalam bekas kedap udara/diseal dalam plastik dan roti tidak terdedah dengan pancaran cahaya matahari atau terdedah di tempat yang panas.
Saya cadangkan roti disimpan di dalam peti sejuk dan panaskan semula roti dengan menggunakan ketuhar atau microwave sebelum dinikmati supaya tekstur roti lembut, gebu dan rasanya lebih sedap.
Seperti biasa, saya suka campurkan tepung roti bersama tepung gandum untuk kebanyakan resepi roti saya sebab tepung roti teskturnya lebih ringan dan akan menghasilkan tekstur roti yang sedikit "chewy" tetapi pada saya rasa tepung roti agak tawar.
Manakala, tepung gandum memberikan rasa yang lebih sedap namun tekstur rotinya tidak sebaik jika anda menggunakan tepung roti.
Saya menggunakan breadmaker sahaja untuk menguli doh rotinya.
Anda boleh uli menggunakan tangan atau uli menggunakan stand mixer, mengikut kepada keselesaan masing-masing.
Selamat mencuba!
GARLIC CHEESE SAUSAGE BREAD
Kategori : Roti & Bun
Masa Penyediaan : 1 jam 35 minit
Masa Membakar : 25 minit
Jumlah Hidangan : 8 keping
Bahan-bahan
Tangzhong:
32 gram tepung roti ( 4 sudu besar)
160 ml air ( 2/3 cawan)
Doh Roti:
180 ml susu sejat/susu penuh krim/susu segar (3/4 cawan) - sejuk
24 gram gula pasir halus (2 sudu besar)
7 gram yis kering segera (2 sudu teh)
250 gram tepung roti (2 cawan)
125 gram tepung gandum (1 cawan)
3 gram garam (1/2 sudu teh)
45 gram mentega bergaram (lembutkan)/marjerin (3 sudu besar)
Campuran Mentega Bawang Putih Manis:
125 gram mentega bergaram (lembutkan)/marjerin (1/2 cawan)
20 gram susu pekat manis (1 sudu besar)
2 ulas bawang putih (parut/cincang halus)
2 sudu besar parsley (cincang)
Bahan Lain:
1/2 cawan parutan keju Cheddar/Parmesan
8 buah sosej saiz jumbo (rebus dahulu dalam 5 minit dan sejukkan)
Cara penyediaan
Tangzhong:
Di dalam periuk kecil/kuali, campurkan tepung roti bersama air dan whisk sehingga tepung tidak berketul. Pindahkan ke atas api dan masak dengan api sederhana perlahan. Kacau selalu sehingga campuran menjadi pekat dan berkilat, seperti adunan mochi.
Pindahkan Tangzhong ke dalam mangkuk dan biarkan sejuk sebelum digunakan.
Doh Roti:
Di dalam mangkuk breadmaker, masukkan susu sejuk dari peti ais, gula pasir halus dan yis kering segera. Kacau sebentar menggunakan spatula. Kemudian, masukkan tepung roti, tepung gandum, garam dan Tangzhong yang telah sejuk. Tekan menu "DOUGH" dan biarkan mesin mengadun dan menguli selama 6 ke 7 minit. Setelah 2 ke 3 minit, doh sepatutnya sudah terbentuk dan tidak lagi melekat pada dinding mangkuk. Jika doh masih nampak terlalu basah dan melekat pada tepi mangkuk, anda perlu tambah sedikit tepung gandum/roti, 1 sudu setiap masa sehingga doh tidak lagi melekat pada tepi mangkuk.
PAUSE kan mesin selepas 6 ke 7 minit (bacaan minit pada breadmaker saya ialah 17, iaitu selepas 6 minit mesin mengadun & menguli), dan masukkan mentega yang telah lembut, tekan START dan uli lagi sehingga mesin berhenti.
Selepas selesai, oles sebuah mangkuk pengadun yang bersih dengan sedikit minyak masak, kemudian oles kedua tapak tangan sebelum mengeluarkan doh dari mangkuk breadmaker. (Doh memang agak lembut). Bulatkan doh dan masukkan ke dalam mangkuk yang telah dioles dengan minyak. Tutup mangkuk dengan cling wrap/tuala lembap dan rehatkan selama 60 ke 90 minit, sehingga doh mengembang 2 kali ganda.
Campuran Mentega Bawang Putih Manis:
Campurkan mentega, parutan bawang putih, susu pekat manis dan parsley yang dicincang di dalam sebuah mangkuk. Gaul rata.
Kemudian masukkan sebahagian besar campuran ke dalam beg plastik piping. sisihkan sedikit campuran mentega bawang putih di dalam mangkuk untuk olesan pada roti setelah roti selesai dibakar.
Membentuk Roti:
Selepas 60 minit, tabur sedikit tepung gandum pada permukaan doh yang telah mengembang 2 kali ganda tadi, kemudian tumbuk-tumbuk untuk keluarkan angin di dalam doh.
Pindahkan doh ke atas papan pencanai yang telah ditabur tepung gandum secukupnya, kemudian bahagikan doh secara sama rata kepada 8 bahagian (berat setiap bahagian dalam 102 gram). Bentukkan setiap bahagian menjadi bentuk bujur kemudian susun di atas permukaan yang telah ditabur tepung. Tutup doh dengan cling wrap/tuala bersih dan rehatkan selama 15 minit supaya doh mudah untuk dicanai.
Selepas 15 minit, tabur tepung secukupnya pada papan pencanai, ambil 1 doh dan canai menegak dan memanjang membentuk bujur/segiempat panjang. Panjang doh perlu lebih dari panjang sosej. Doh agak lembut dan sedikit melekat, jadi anda perlu pastikan kayu dan papan pencanai ditabur tepung secukupnya. Paip mentega bawang putih secara menegak di bahagian tengah doh kemudian letak 1 buah sosej di atasnya. Tutup doh dengan rapat dan kemas kemudian pindahkan ke atas permukaan kerja/silicon baking mat/papan pencanai. Ulang langkah sama untuk 7 biji doh seterusnya.
Buat beberapa kelar menggunakan pisau tajam di atas roti (jangan kelar sampai bawah).
Tabur parutan keju Cheddar/Parmesan di atas roti dan tekan sedikit supaya melekat.
Pindahkan doh roti ke atas loyang pembakar yang dialas dengan kertas pembakar/silpat. Jarakkan roti antara satu sama lain supaya tidak melekat.
Bakar roti pada suhu 190℃ selama 20 ke 25 minit, atau sehingga roti berwarna keemasan. Sebelum itu ketuhar dipanaskan terlebih dahulu selama 10 ke 15 minit. Bakar roti pada rak tengah dengan menggunakan api atas bawah.
Setelah siap dibakar, oles roti yang masih panas dengan baki campuran mentega bawang putih yang telah dicairkan terlebih dahulu.
Roti yang masih hangat boleh dipotong-potong sebelum disajikan. Selamat menikmati!
Comments