Assalamualaikum..
Setelah mencuba beberapa kali membuat kek sarang semut ni, akhirnya saya jumpa juga cara membuat kek sarang semut yang mudah dan tanpa perlu perap.
Sarangnya juga InsyaAllah akan menjadi dengan cantik dengan tekstur kek yang lembut, lembap dan kenyal.
Resepi ini saya adaptasi dari resepi kek sarang semut yang kebanyakannya digunapakai oleh para Youtubers dari negara jiran, Indonesia.
Resepi mereka agak berlainan dengan resepi kek sarang semut yang biasa kita buat dari segi teknik dan juga bahan yang digunakan.
Versi kek sarang semut atau bolu karamel Indonesia ini memang tidak perlu diperap, dan tepungnya menggunakan dua jenis - iaitu tepung gandum dan tepung ubi.
Rationya 1 : 1 untuk kedua-dua tepung ini, tetapi saya lebihkan tepung gandum untuk resepi saya.
Hasilnya pun sudah cukup kenyal.
Sementara untuk gula hangusnya, kek sarang semut versi Indonesia tidak dicampur dengan marjerin atau mentega kerana ianya dicairkan secara berasingan.
Berbeza dengan kek sarang semut kita yang biasa iaitu marjerin atau menteganya dicairkan sekali bersama gula hangus.
Untuk resepi ini saya menggunakan loyang segiempat 8 x 8 inci dengan menggunakan 6 biji telur gred A.
Bagi yang nak buat kek sarang semut menggunakan loyang bundt 8 x 8 inci (diameter atas) atau loyang loaf, anda boleh kurangkan sukatan bahan menjadi separuh.
Tonton tutorial langkah demi langkah tentang cara-cara membuat kek sarang semut versi tanpa perap ni, sila tonton menerusi pautan video di bawah ini 👇
Kek sarang semut ini amat sesuai dihidangkan sebagai sajian untuk minum petang.
Ianya sedap dimakan baik ketika sejuk ataupun pada suhu bilik.
Kek akan sedikit berminyak ketika ianya masih panas, manakala kek tidak akan berminyak lagi setelah ianya sejuk.
Selamat mencuba!
Kek Sarang Semut Tanpa Perap
Kategori : Kek
Masa Penyediaan : 20 minit
Masa Membakar : 1 jam 30 minit
Jumlah Hidangan : 1 biji kek bersaiz 8 x 8 inci
BAHAN-BAHAN
Gula Hangus:
400 gram gula pasir halus ( 2 cawan)
500 ml air panas (2 cawan)
Adunan Kek:
6 biji telur gred A (suhu bilik)
125 gram susu pekat manis (1/3 cawan & 2 sudu besar)
2 sudu teh esen vanila
1/8 sudu teh garam
190 gram tepung gandum ( 1 & 1/2 cawan)
75 gram tepung ubi (2/3 cawan)
7 gram baking soda (1 & 1/4 sudu teh)
4 gram baking powder (1 & 1/2 sudu teh)
150 gram marjerin / mentega cair ( 2/3 cawan)
CARA PENYEDIAAN
Gula Hangus:
Tuang gula pasir ke dalam kuali leper anti lekat secara merata. Buka api sederhana kecil dan biarkan gula cair.Goyangkan kuali sekali-sekala supaya gula cair dengan sekata dan pecahkan ketulan gula menggunakan spatula/ senduk kayu. Tak perlu kacau selalu untuk mengelakkan gula menjadi berketul.
Cairkan gula sehingga berwarna coklat perang keemasan. Hati-hati supaya gula tidak terlalu gelap supaya keknya tidak pahit.
Setelah gula berwarna perang keemasan, kecilkan api ke suhu paling rendah dan tuang air panas sedikit demi sedikit. Besarkan sedikit api dan masak lagi sehingga gula larut ke dalam air.
Setelah gula larut, padamkan api dan biarkan sehingga gula hangus betul-betul sejuk. (Saya masukkan ke dalam freezer supaya cepat sejuk).
Adunan Kek:
Cairkan marjerin / mentega menggunakan cara double boil atau microwave dan biarkan sejuk atau suam kuku.
Di dalam mangkuk pengadun, masukkan telur dan susu pekat manis. Whisk sehingga adunan sebati dan sedikit berbuih.
Masukkan esen vanila, garam dan 1/3 gula hangus yang telah sejuk. Whisk hingga sebati.
Campurkan bahan kering (tepung gandum, tepung ubi, baking soda dan baking powder) dan ayakkan ke dalam adunan kek. Whisk sehingga tiada lagi tepung yang kelihatan.
Masukkan gula hangus sedikit demi sedikit supaya adunan tidak berketul dan whisk sebati.
Akhir sekali, masukkan mentega / marjerin yang telah suam kuku dan whisk sehingga marjerin / mentega betul-betul sebati dengan adunan.
Tapis adunan ke dalam loyang 8 x 8 inci yang telah diglis dengan marjerin / mentega dan dialas dengan kertas pembakar.
Bakar kek pada suhu 160℃ selama 1 jam 30 minit (atau sehingga lidi pencucuk / cake tester bersih jika dicucuk pada tengah kek). Bakar pada rak kedua bawah dengan menggunakan api atas bawah. Ketuhar dipanaskan dahulu selama 10 ke 15 minit.
Setelah kek masak, keluarkan dari ketuhar dan biarkan dalam loyang selama 15 ke 20 minit.
Lalukan spatula kek / pisau kecil di bahagian tepi kek kemudian telangkupkan kek ke atas papan kek atau pinggan.
Kek boleh dipotong kepada saiz yang digemari dan sedia untuk dihidang.
Comentários