Assalamualaikum readers...
Dari sehari ke sehari rancang nak membuat pizza ni tapi asyik tertangguh je, fikiran asyik sangkut di "planning mode". Hehe..Akhirnya, selesai juga projek membuat pizza versi yang mudah ni untuk menghabiskan bahan-bahan untuk topping pizza yang ada dalam peti sejuk.
Jika anda biasa membuat doh pizza sendiri di rumah, sebenarnya ada beberapa cara nak sediakan doh ni. Doh pizza yang biasa digunakan di restoran pizza yang mana cara pembuatan dohnya lebih asli seperti pizza ala Italian ialah dengan menggunakan pre-fermented dough, iaitu doh yang disediakan lebih awal dan direhatkan sekurang-kurangnya 16 jam pada suhu bilik atau dalam peti sejuk sebelum dicampurkan ke dalam doh pizza yang utama. Antara kebaikan pre-fermented dough ni untuk pizza ialah menambah rasa yang lebih enak pada kerak pizza, selain menambahbaik tekstur pizza.
Tapi versi kerak pizza kali ini lebih mudah, anda tidak perlukan pre-fermented dough dan dohnya tidak perlu diuli! Cuma masa rehat doh lebih panjang sebab kita nak bagi masa jaringan gluten terbentuk dengan sendirinya untuk mendapatkan kerak pizza yang lebih ringan, berongga dan tidak mampat. Tempoh masa rehat untuk membuat kerak pizza ni ialah dalam 4 jam 20 minit.
Tonton Video Di Sini 👇
Walaupun memakan masa hampir 5 jam untuk rehatkan, hasil kerak pizza yang menggunakan teknik ni sangat2 lah berbaloi, sebab teksturnya lebih ringan dan berongga di bahagian dalamnya, manakala bahagian luarnya garing dan rangup! Hasilnya tidaklah se"chewy" atau sekenyal seperti pizza Neapolitan, jenis pizza yang terkenal di Itali dengan teksturnya yang seperti bantal dengan kerak pizza yang sedikit chewy, sementara bahagian dalamnya lembut dan berongga.
Salah satu faktor yang membuatkan textur pizza ni lembut, berongga dengan bahagian luarnya yang garing dan rangup ialah kandungan air dalam doh pizza. Biasanya doh pizza memerlukan sekurang-kurangnya 50% ke 60 % air. Contohnya, kalau kuantiti tepung yang digunakan ialah 1000 gm dan kuantiti air yang digunakan ialah 600 gm/ml, maka jumlah hidrasi untuk doh pizza itu ialah 60%. Lebih tinggi peratus hidrasi dalam doh pizza, maka akan lebih lembut, berbantal dan beronggalah tesktur kerak pizza tersebut. Masalahnya, nak menguli doh yang banyak air ni agak mencabar dan tidak mudah, kerana doh akan mudah melekit pada tapak tangan & permukaan kerja.
Resepi ini saya gunakan 78% hidrasi, peratus air yang agak tinggi sebenarnya, sebab tu lah saya memilih untuk menggunakan teknik tanpa uli untuk memudahkan kerja. Bagi yang tak berapa mahir menguli doh memang sesuai sangat pakai teknik tanpa uli ni untuk menghasilkan tekstur pizza yang ala-ala pizza Neapolitan tu.
Kalau tak nak buat kerja banyak kali, buat sekali doh pizza dalam kuantiti banyak lepas tu frozenkan saja, lain kali kalau terasa nak makan pizza, boleh terus keluarkan doh dan gunakan.
Cara Frozenkan Doh Pizza :
Bahagikan doh pizza yang telah direhatkan selama 2 ke 3 jam sehingga saiznya menjadi 3 kali ganda kepada beberapa bahagian, bergantung kepada saiz pizza yang kita nakkan, biasanya anggaran 150 gm untuk saiz pizza yang kecil (individual), 200-250 gm untuk pizza sederhana (medium) dan 400-450 gm untuk pizza saiz besar.
Bulat-bulatkan doh pizza yang telah dibahagikan tadi, kemudian masukkan ke dalam tupperware/bekas yang berasingan. Oles dulu bekas yang nak digunakan dengan sedikit minyak zaitun supaya senang nak keluarkan doh pizza nanti.
Untuk elak permukaan doh menjadi kering, oles sedikit minyak zaitun pada permukaan doh dan tutup rapat tupperware/bekas tadi.
Simpan dalam freezer dan doh tahan sehingga 2 bulan.
Cara Menggunakan Doh Pizza Frozen :
Jika doh frozen hendak digunakan keesokan harinya, pindahkan doh frozen ke chiller (bahagian bawah peti sejuk) pada malam sebelum ia digunakan. Ini memberi ruang untuk proses "slow defrost" yang ambil masa antara 10-12 jam.
Keesokan paginya, keluarkan doh yang telah di"slow defrost" tadi dan pindahkan ke atas permukaan kerja yang telah ditabur tepung suji secukupnya. Tutup doh dengan kain bersih dan biarkan doh mencapai suhu bilik sebelum diregangkan. Ianya ambil masa selama 1-2 jam.
Setelah doh lembut dan mencapai suhu bilik, regangkan doh di atas permukaan kerja, tutup & rehatkan 20-30 minit, kemudian pindahkan ke atas loyang pizza yang telah diglis minyak zaitun atau baking paper.
"Pre-bake" kerak pizza sekejap selama 5 minit pada suhu 250℃. Oven hendaklah dipanaskan selama 20-30 minit sebelum digunakan.
Selepas tu, bolehlah letak topping kegemaran pada kerak pizza dan bakar semula pada suhu 250℃ selama 10-12 minit.
Kebaikan menggunakan kerak pizza yang di "pre-bake" atau dibakar dahulu sekejap ni ialah untuk memastikan doh pizza mengembang dengan maksimum sebelum diletak topping. Selain tu, kerak pizza juga akan lebih garing dan rangup dan tidak lembik. Kerak pizza yang telah di "pre-bake" ni juga boleh difrozenkan sebenarnya. Jadi, ada 2 cara nak frozenkan doh pizza - pertama, kita frozenkan doh pizza yang masih mentah dan kedua, kita frozenkan doh pizza yang telah di "pre-bake."
Cara Frozenkan Doh Pizza yang Telah Di "Pre-Bake" :
Bakar doh pizza yang telah diregangkan pada suhu 250℃ selama 5 minit dengan menggunakan loyang pizza (paling baik menggunakan loyang pizza yang berlubang (perforated) atau bakar di atas kertas pembakar tanpa dialas loyang (letak rak oven di bawah kertas pembakar). Panaskan oven selama 20-30 minit.
Setelah dibakar, biarkan ia sejuk sebelum disimpan dalam beg ziploc, bekas bertutup atau balut dengan cling wrap. Letak baking paper/ plastik di antara kerak pizza jika ditindih supaya tidak melekat antara satu sama lain.
Frozenkan hingga 3 bulan.
Cara Menggunakan Frozen Doh Pizza yang Telah Di "Pre-Bake" :
Panaskan oven pada suhu 250℃ selama 20 minit.
Keluarkan kerak pizza pre-bake dari freezer dan letakkan topping kegemaran, tak perlu defrost.
Bakar selama 12 minit, atau lebihkan sedikit masa.
Lepas ni, bolehlah buat sendiri je pizza di rumah untuk dinikmati bersama keluarga atau untuk jamuan open house atau hari jadi.
Selamat mencuba!
Pizza Tanpa Uli
Kategori : Roti & Pizza
Masa Penyediaan : 20 minit
Masa Rehat : 4 jam 30 minit
Masa Membakar : 18 minit
Jumlah Hidangan : 8-10 orang
BAHAN-BAHAN :
390 ml air suam kuku | 1.5 cawan & 1 sudu besar
6 gm yis kering segera | 2 sudu teh
7 gm gula pasir | 2 sudu teh
125 gm tepung gandum | 1 cawan
375 gm tepung roti | 3 cawan
9 gm garam | 2 & 1/4 sudu teh
30 ml minyak zaitun | 2 sudu besar
Tepung suji secukupnya
Topping :
Sos pasta/ sos pizza secukupnya
Parutan keju Mozzarella secukupnya
Pepperoni
Hirisan cendawan butang segar
Lada benggala hijau potong dadu
Lada benggala kuning potong dadu
Lada benggala merah potong dadu
CARA MEMBUAT
Membuat Doh Pizza :
Di dalam mangkuk pengadun, campur bersama air suam, gula dan yis. Kacau menggunakan spatula/ senduk kayu.
Masukkan tepung gandum, tepung roti & garam. Adun hingga sebati.
Masukkan minyak zaitun dan adun menggunakan spatula/senduk sehingga minyak meresap ke dalam doh. Tekstur doh masih kasar waktu ni.
Tutup mangkuk dengan cling wrap & tuala bersih & rehatkan 20-30 minit.
Selepas 20-30 minit, oles tapak tangan dengan minyak zaitun kemudian angkat bahagian tepi doh dan lipat ke atas. Ulang sebanyak 2 kali.
Terbalikkan doh supaya bahagian lipatan berada di bawah. Tutup semula mangkuk dan rehatkan lagi 20-30 minit.
Selepas 20-30 minit seterusnya, ulang sekali lagi melipat doh sebanyak 2 kali.
Tutup semula mangkuk dan rehatkan selama 2-3 jam, sehingga doh mengembang 3 kali ganda.
Membentuk Doh Pizza :
Selepas doh mengembang 3 kali ganda, taburkan tepung suji secukupnya pada mat pencanai/permukaan kerja. Pindahkan doh ke atasnya. TAK PERLU tumbuk-tumbuk doh untuk keluarkan angin.
Bahagikan doh menjadi 4 bahagian (dalam 220 gm setiap bahagian) untuk pizza saiz medium, kalau nak buat saiz besar boleh bahagikan kepada 2 atau 3 bahagian sahaja. Terpulang ya.
Ambil satu doh dan regangkan di atas mat pencanai. Bahagian tepi doh jangan dileperkan ya. Oles tapak tangan dengan minyak zaitun kalau doh melekat. Ulang untuk doh seterusnya.
Tutup doh yang telah dileperkan dengan kain bersih dan rehatkan 20-30 minit.
Membakar Pizza :
Panaskan ketuhar pada suhu 250℃ selama 20-30 minit.
Oles loyang pizza yang berlubang dengan sedikit minyak zaitun.
Pindahkan doh pizza ke atas loyang pizza dan regangkan sampai doh memenuhi loyang. Bahagian tepi doh biarkan tebal sedikit.
"pre-bake" atau bakar sekejap kerak pizza selama 5 minit.
Selepas itu, letakkan topping pizza, bermula dengan sos pasta/sos pizza, keju Mozzarella dan taburkan topping kegemaran.
Renjiskan minyak zaitun sedikit di atas pizza.
Bakar semula pada suhu 250℃ selama 10-12 minit, atau sehingga keju cair dan sedikit kecoklatan.
Potong menggunakan pemotong pizza & hidangkan sementara masih panas.
Comments